LONDON – Berada di puncak prestasi, penyerang Marcus Rashford telah berjaya mengambil alih kedudukan Eric Cantona dalam kedudukan penjaring sepanjang zaman untuk pasukan Manchester United.
Ia selepas beliau menjaringkan gol ke-83 peribadinya dalam pertemuan menentang Southampton ketika kelab itu menang besar 9-0 awal pagi tadi.
Rashford yang berusia 23 tahun telah memintas kedudukan tersebut dan masih mampu untuk memintas senarai nama pemain-pemain yang berada dalam senarai antaranya David Beckham dengan 85 gol, Ronaldo (118) dan Andy Cole (121) manakala carta teratas kekal milik Wayne Rooner dengan 253 gol.
Rashford merekodkan gol peribadi ke-83 selepas menyempurnakan hantaran leret Mason Greenwood. Rashford kemudian telah dikeluarkan pada selepas bermain 60 minit permainan dan digantikan dengan Daniel James yang juga berjaya menjaringkan gol ketika United menang besar perlawanan tersebut.
Rashford ketika ditemubual berkata, Cantona merupakan pemain ternama yang banyak berbakti kepada pasukan United dan ia merupakan satu penghargaan kepada dirinya.
“Saya telah berjaya memintas kedudukan dalam senarai penjaring terbanyak United sepanjang zaman. Saya ingin menjaringkan lebih banyak gol dan membantu pasukan untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Pengurus pasukan United, Ole Gunnar Solkjaer berkata, Cantona merupakan pemain fantastik jika sesiapa berpeluang bermain bersamanya manakala Rashford mempunyai harapan besar untuk masa depan kariernya bersama United.
“Apa yang dia telahl akukan pada musim ini atau tahun ini menunjukkan dia bersungguh-sungguh dengan kerjaya dia sebagai pemain bola sepak,” katanya. – MalaysiaGazette