KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Bagaimanapun hukuman penjara itu diarahkan berjalan serentak bagi sembilan pertuduhan yang dihadapi bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas Isa, 72, didapati bersalah terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta yang dikaitkan dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, tujuh tahun lalu.

Mohd Nazlan turut memutuskan kegagalan tertuduh membayar denda tersebut, hukuman penjara itu boleh ditambah 18 tahun lagi.

Ketika menjatuhkan hukuman tersebut, tertuduh yang berada di kandang saksi kekal tenang dan sesekali menundukkan kepalanya.

Terdahulu Isa didapati bersalah atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Rasuah dalam bentuk wang tunai itu diterima melalui bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md. Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Ketika ini pihak pembelaan sedang membuat permohonan bagi menangguhkan hukuman penjara dan denda dengan alasan tidak ‘mampu’ membayar atau melalui tempoh penjara begitu lama. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Harap jd pengajaran kepada semua pemimpin GLC lantikan politik. Henti henti la jadikan lubuk duit

Comments are closed.