Petugas Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan kerja-kerja mengambil bahan kimia yang dilupus secara haram di tanah rizab Sungai Langat yang terletak di Taman Seri Reko, Kajang. Foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2021.

KAJANG – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menemui 13 tong besar dan enam tong kecil berisi cecair bahan kimia dipercayai bahan pelarut dan cat di atas tanah rizab Sungai Langat di Taman Seri Reko, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, penemuan sisa toksik itu hasil laporan daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“MPKj menemui tapak pembuangan haram sisa bahan kimia dan berpotensi mendatangkan pencemaran kepada Sungai Langat kira-kira pukul 5 petang, semalam (2 Februari 2021).

“Siasatan awal mendapati cecair bahan kimia ataupun bahan buangan terjadual yang terkandung di dalam tong besar mengeluarkan bau seakan bahan pelarut (solvent).

“Manakala cecair kimia di dalam tong kecil tersebut berbau seakan penipis cat (thinner),” katanya pada sidang media selepas mengunjungi tapak pelupusan sisa toksik haram di Taman Seri Reko, di sini, hari ini.

Menurutnya, jarak lokasi tersebut ke muka sauk loji rawatan air (LRA) terdekat adalah Loji Semenyih 2, kira-kira 13 kilometer (km) dan Loji Rawatan Air Bukit Tampoi kira-kira 24km.

“Bahan buangan terjadual ini sepatutnya dilupuskan di kawasan yang ditetapkan selaras Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Jarak dari lokasi pembuangan bahan sisa kimia tersebut ke Sungai Langat ialah dalam anggaran 10 meter,” katanya.

Petugas Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan kerja-kerja mengambil bahan kimia yang dilupus secara haram di tanah rizab Sungai Langat yang terletak di Taman Seri Reko, Kajang. Foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2021.

Dalam pada itu, siasatan diteruskan oleh pihak LUAS mendapati keadaan di tebing sungai berdekatan tiada tumpahan bahan sisa kimia yang mengalir masuk ke Sungai Langat.

“Pemantauan rapi dilaksanakan LUAS di bahagian hilir lokasi tapak premis mendapati tiada kesan bau solvent di Sungai Langat.

“Tiada henti tugas LRA dan gangguan bekalan air dilaporkan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya telah mengenal pasti penjenayah alam sekitar terbabit dan perlu menunggu keputusan bahan kimia sebelum tindakan lanjut diambil.

“Selaras dengan Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, bagi pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.

“Pelaku juga bolah didenda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta,” katanya. – MalaysiaGazette