LONDON – Jesse Lingard membuktikan dia masih pemain bernilai apabila meledak dua gol dalam penampilan sulung bersama West Ham untuk membantu The Hammers menumpaskan Aston Villa 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Lingard pantas membalas kepercayaan pengurus, David Moyes dengan aksi cemerlang di Villa Park selepas dipinjamkan dari Manchester United.
Pemain sayap berusia 28 tahun itu hanya membuat penampilan keempat musim ini selepas sering dipinggirkan di Old Trafford.
Perlawanan itu turut ditonton oleh pengendali England, Gareth Southgate, sekali gus memberi harapan buat Lingard untuk kembali menyarung jersi Three Lions selepas diketepikan sejak 2019.
Tomas Soucek membuka jaringan West Ham pada minit ke-51 sebelum Lingard menambah dua gol pada minit ke-56 dan 83.
Kemenangan itu meletakkan The Hammers ke tangga kelima liga dengan 38 mata hanya dua mata di belakang pasukan tangga keempat, Liverpool.
Villa yang mengalami kekalahan keempat daripada enam perlawanan kekal di tangga kesembilan. – MalaysiaGazette