KUALA LUMPUR – Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (Edict) mengemukakan beberapa soalan berhubung kematian Allahyarham Mohd Afis Ahmad ketika dalam tahanan antara 27 dan 28 Januari lalu ketika berada di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, Kedah.

Menurutnya, kenyataan Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, si mati berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan akibat pergelutan dan tindakan agresif si mati dengan anggota polis ketika pihak polis menahan Mohd Afis.

Namun, kata Edict, persoalan yang timbul adalah, mengapa pihak polis tidak membawa si mati ke hospital dengan segera selepas terdapat kecederaan parah pada anggota badan si mati.

“Mengapa si mati dimasukkan terus ke dalam lokap selepas anggota polis tahu dan sedar bahawa si mati di dalam kes
ini telah pun mengalami kecederaan terutamanya di bahagian kepala si mati?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Edict menambah, sebaliknya Hasanuddin memberitahu, polis sebaliknya terus membawa si mati ke dalam lokap selepas penggeledahan tanpa melakukan pemeriksaan kesihatan seperti yang terkandung dalam Kaedah 36, Kaedah-Kaedah Lokap 1953 iaitu pegawai penjaga atau timbalan pegawai penjaga hendaklah tanpa berlengah lagi merepot kepada Pegawai Perubatan apa-apa kes nyata sakit otak, kecederaan kepada atau seseorang banduan sakit.

Dengan ini, dakwa Edict, polis telah mengingkari Perkara 15 SOP Pengurusan Lokap PDRM bertarikh 1 Julai 2014 yang memperuntukkan pemeriksaan kesihatan ke atas banduan dan merujuk banduan yang sakit / perlu bantuan perubatan ke pegawai perubatan.

”Lebih mengejutkan, Ketua Polis Kedah tidak tahu bahawa Perintah Tetap Ketua Polis Negara PTKPN A’118’ dalam perenggan
9.2 telah mewajibkan tahanan yang melapor sakit atau tahanan yang pada pendapat Timbalan Pegawai Penjaga, memerlukan bantuan perubatan, hendaklah dihantar ke hospital di bawah kawalan untuk diperiksa oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Edict juga hairan dengan tindakan Ketua Polis Kedah yang mengaitkan kes lampau si mati dengan penahanan kali ini.

”Apakah kaitan antara sejarah silam si mati dengan penahanan dan kematian yang berlaku akibat kecederaan yang berlaku sekarang? Adakah seseorang yang mempunyai kes lampau yang telah pun tamat menjalani hukuman yang ditetapkan, boleh diperlakukan kejam tidak berperikemanusiaan?” soalnya lagi.

Edict menggesa polis Kedah untuk menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)  lokap untuk membuktikan bahawa si mati tidak dibelasah semasa berada di dalam lokap kerana pendedahan rakaman CCTV ini juga penting bagi memastikan orang awam tidak mempunyai sebarang prasangka terhadap PDRM dalam kes ini.

Edict berpandangan, respons oleh Ketua Polis Kedah tidak cermat dan tidak berhemah kerana  beliau sepatutnya lebih faham dalam tatacara polis yang telah dimandatkan undang-undang berkenaan cara-cara mengendalikan tahanan reman yang cedera dan kewajipan memberikan rawatan kepada tahanan sebaik sahaja tahanan didapati cedera.

Namun daripada kenyataan beliau ini, jelas beliau memerlukan latihan yang sewajarnya di semua tatacara yang perlu di dalam menguruskan tahanan yang disiasat, katanya,

”Edict mengulangi sekali lagi bahawa tiada keperluan bagi sesiapa untuk mati di dalam tahanan polis. Sekirannya terdapat mana-mana tahanan yang sakit dan/atau cedera di dalam tahanan polis maka mereka perlu dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan secepat mungkin.

”Apa-apa kegagalan dan atau pengabaian tugas seperti yang dimandatkan di dalam Akta Polis akan membawa imej serta prasangka buruk terhadap Polis Di Raja Malaysia dalam pandangan masyarakat umum,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kematian anak dalam tahanan, keluarga bingung