Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah South African B.1.351 Covid-19 variant
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Ujian saringan Covid-19 di makmal hospital-hospital awam di negara ini sudah mencecah kapasiti penuh.

Sehubungan itu, klinik dan hospital swasta harus memainkan peranan masing-masing untuk mengambil peranan melaksanakan ujian saringan kerana sektor swasta mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata: “21 Hospital KKM sudah mencecah kapasiti penuh, makmal kesihatan awam di Sungai Buloh sudah cecah 93 peratus kapasiti.

“Walaupun kita masih ada kapasiti di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) tapi kami beralih kepada penjujukan genom daripada melakukan ujian saringan normal.

“Sekarang di hospital universiti hanya lakukan 27 peratus sahaja, jadi ada kapasiti untuk mereka tingkatkan jumlah saringan dan di makmal swasta hanya 31 peratus sahaja.

“Malah hospital ATM 24 peratus, jadi kita mahu melihat kepada kesemua 68 makmal ujian saringan kerana kapasiti di hospital awam sudah mencecah 100 peratus penggunaan,” katanya dalam sesi libat urus media darurat Covid-19 siri 2 2021: Ujian pengesanan Covid-19 dan kesiapsiagaan maklam KKM secara maya sebentar tadi.

Justeru itu, katanya, KKM menggalakkan sektor swasta untuk turut serta dalam mengambil peranan untuk menolong kerajaan dalam membuat ujian saringan Covid-19.

“Jadi makmal di hospital swasta, ATM dan universiti, mereka boleh tingkatkan lagi kapasiti mereka kerana ada keupayaan tapi tidak melakukannya.

“Sekarang kerajaan kena galakkan mereka untuk terima lebih banyak sampel lagi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, KKM turut mempertimbangkan untuk menurunkan kuasa kepada hospital swasta bagi membolehkan pengamal perubatan di sektor itu untuk mengeluarkan perintah kuarantin kendiri di rumah (HSO) kepada pesakit Covid-19.

Jelas Noor Hisham, ia merupakan salah satu tindakan bersepadu antara sektor kesihatan awam dan swasta.

“Pada masa ini, doktor swasta tidak diberi kuasa bagi mengeluarkan HSO tetapi kita sedang melihat untuk turunkan kuasa dan apabila tamat kuarantin, mereka boleh mengeluarkan arahan pelepasan serta memotong gelang pesakit,” jelas Noor Hisham. – MalaysiaGazette