Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini tampil menjelaskan isu Prosedur Operasi Standard (SOP) perayaan sambutan Tahun Baru Cina yang menerima kritikan sejak semalam.

Jelas beliau, sebelum membangunkan suatu SOP perayaan bukan Islam, lazimnya Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin agama  berkaitan sebelum dicadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kerajaan pula ujarnya, jarang mengubah SOP yang telah diputuskan KPN bersama pemimpin agama dan pertubuhan berkaitan.

“Untuk makluman semua, setiap SOP perayaan bukan Islam yang diumumkan kepada orang ramai adalah hasil pembentangan yang dibuat oleh KPN dan sebelum membentangkan kepada Sidang Khas MKN, KPN terlebih dahulu wajib mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan bersama wakil setiap pertubuhan keagamaan dan persatuan kebudayaan kaum-kaum terbabit.

“Kemudian, KPN akan mengangkat hasil perbincangan tersebut untuk dibincangkan semula bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya bagi menilai dari segi risiko kesihatan.

”Setelah keputusan antara KPN, KKM dan MKN dibuat, barulah KPN akan mencadangkan kepada Sidang Khas MKN untuk diluluskan dan selepas diluluskan barulah SOP tersebut diumumkan kepada rakyat.

”Sebagai contoh, sebelum SOP Deepavali, Thaipusam, Krismas, Hari Gawai serta Pesta Kaamatan diumumkan, persetujuan daripada Sidang Khas MKN.

“Seperti dalam isu Tahun Baru Cina, katanya KPN telah mengadakan dua kali sesi libat urus melibatkan 21 Badan Pertubuhan Agama, Persatuan Kebudayaan Cina, Buddha, Tao, Kristian, Persatuan Perniagaan Cina termasuk Sabah dan Sarawak serta pihak-pihak berkaitan bagi sama-sama menyediakan SOP,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Sehubungan itu beliau hairan apabila SOP Tahun Baru Cina kali ini berhadapan dengan kritikan hebat.

Walau bagaimanapn beliau berkata, sekiranya perlu melakukan perubahan berdasarkan pandangan orang ramai, KPN boleh membentang semula SOP yang bersesuaian untuk dipertimbangkan oleh MKN.

Semalam, Ismail mengumumkan aktiviti ziarah termasuk rentas daerah dan negeri serta aktiviti keagamaan di tokong sempena perayaan Tahun Baharu Cina pada 11 dan 12 Februari 2021 tidak dibenarkan.

Acara makan besar hanya dibenarkan untuk disambut bersama ahli keluarga dalam rumah yang sama.

Turut tidak dibenarkan ialah sebarang aktiviti kebudayaan dan persembahan seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, opera dan pertunjukan pentas manakala upacara sembahyang di tokong pula hanya dibenarkan membabitkan lima ahli jawatankuasa tokong.

Manakala SOP bagi Tahun Baru Cina di Negeri Sarawak akan diputuskan kerajaan negeri berkenaan berikutan ada daerah di negeri itu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Pengumuman Ismail itu kemudian menimbulkan banyak kritikan masyarakat yang menyifatkan kerajaan sebagai tidak peka budaya.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Biarkan mereka buat apa yang mereka nak buat ingkar SOP maka kenakan jer denda dan tugaskan yang masih mengulangi ingkar SOP kena buat community services dengan para pesakit Covid-19.

  2. mana lagak Datuk Que asyik menSIALkan PAS dan Menyalahkan MKN…..buatlah laporan polis jika tidak suka dan BANTAH SOP ini

Comments are closed.