Dorairaj terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menanggung kos operasi dan gaji pekerjanya.

GEORGE TOWN – Rata-rata pengusaha dan pemilik pusat cuci kereta di sini menarik nafas lega selepas kerajaan membenarkan mereka beroperasi semula selepas lama menutup operasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemilik pusat cucian kereta CS Bubble, O. Dorairaj, 39,berkata, dia berdepan cabaran dalam menguruskan kos operasi dan gaji pekerja susulan premisnya ditutup baru-baru ini.

Dorairaj.

Jelasnya, PKP pertama dahulu menyebabkan dia menanggung kerugian besar susulan tidak beroperasi lebih tiga bulan namun tidak sangka akan mengalami nasib yang sama buat kali kedua.

“Sudah 21 tahun saya buat kerja-kerja cuci kereta ini tapi bila kerajaan tak benarkan kami buka kedai menyebabkan saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri membayar gaji pekerja serta sewa kedai.

“Saya ambil warga tempatan sebagai pekerja semestinya saya tidak boleh lepas tangan kerana mereka (pekerja) juga perlu menyara keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Dorairaj, walaupun pelanggan tidak ramai seperti dahulu namun pembukaan semula operasi ini mampu mengurangkan beban yang ditanggungnya.

“Sebelum PKP sekurang-kurangnya 50 buah kenderaan dicuci setiap hari tetapi kini jumlah itu turun sampai adakalanya tidak sampai 20 buah,” ujarnya.

Seorang lagi pengusaha, R. Anbhareson, 28, memberitahu, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditekankan terhadap pekerja dan pelanggan bagi memastikan kedai mereka beroperasi tanpa jangkitan Covid-19.

“Jika dulu, kenalan rapat boleh datang lepak atau sembang di sini tetapi kini hanya pekerja dan pelanggan saja dibenarkan berada di dalam premis.

“Pemakaian pelitup muka dan daftar MySejahtera sebaik masuk premis memang dipraktikkan,” katanya.

Sementara itu, situasi berbeza pula bagi Simon Tan yang menguruskan cucian kereta secara automatik di mana peratusan pelanggannya menurun dan kurang 30 peratus berbanding sebelum ini.

Simon Tan mengusahakan pusat cuci kereta secara automatik di Relau, Pulau Pinang.

“Sehari dalam 50 pelanggan datang ke sini untuk bersihkan kereta dan rata-rata memberitahu mereka selesa kerana tiada sentuhan pihak ketiga.

“Namun begitu, saya masih tetap menanggung kerugian kerana orang hanya datang untuk cuci saja tiada perkhidmatan lain diperlukan sedangkan pekerja ramai warga asing yang memerlukan saya tanggung pelbagai kos,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast