FB Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pertemuan bersama Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) yang berlangsung selama empat jam hari ini lebih mesra dan konstruktif berbanding perbincangan secara persidangan video.

Menerusi hantaran Facebook rasminya hari ini, Muhyiddin berkata, perbincangan secara bersemuka itu memberi ruang bagi kedua-dua pemimpin mengorak langkah untuk meningkatkan hubungan sedia ada ke peringkat lebih tinggi.

“Alhamdulilah, lawatan rasmi saya ke Indonesia berakhir dengan beberapa persetujuan bersama dicapai yang tentunya akan memacu hala tuju hubungan kerjasama kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi.

“Lawatan ini, pada saya sangat bermakna apabila dua pemimpin utama negara dapat berbual dan berbincang secara bersemuka selama empat jam dalam satu lawatan rasmi, yang tentunya memberi banyak ruang untuk kami mengorak langkah meningkatkan hubungan sedia ada ke peringkat lebih tinggi atau lebih strategik,” menurut hantaran itu.

Beliau turut menyatakan antara isu yang dibangkitkan dalam pertemuan empat mata itu adalah pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani COVID-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar.

Lawatan rasmi atas undangan khas Jokowi ini amat bermakna dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia, kata beliau dalam hantaran itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.