Peniaga restoran, Kevin Chee bercakap pada sidang media mengenai aduan peniaga disaman oleh anggota penguatkuasaan Majlis Bandaraya Subang Jaya di Restoran Jam Factory, Puchong, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 FEBRUARI 2021.

PETALING JAYA – Seorang pemilik restoran makanan barat kerugian hampir RM200,000 susulan perniagaannya tidak dapat beroperasi sejak akhir tahun lalu didakwa akibat kerenah birokrasi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, bukan sahaja tidak dibenarkan berniaga bahkan peniaga turut dikenakan kompaun hampir mencecah RM15,000.

“Apabila lesen sementara ditamatkan, peniaga ini kerap terima kompaun daripada MBSJ. Pemilik restoran orang Cina, hari ini kita lihat peniaga-peniaga daripada bangsa Cina pun diberi tekanan.

“Pemilik restoran ini telah beberapa kali dikenakan kompaun hampir RM15,000 dan mereka pun telah bayar kepada MBSJ.

“Apabila mereka mengikut kehendak MBSJ, mereka kemukakan permohonan di Jabatan Perancang Bandar, sudah tiga kali bawa pelan dan sehingga ke hari ini tidak dapat kata putus yang boleh membantu menyelesaikan masalah peniaga,” katanya ketika ditemui di Restoran Jam Factory, di sini, hari ini.

Restoran Jam Factory yang didaftarkan di bawah syarikat Universal Food Origin yang mana Lesen Sementara Perniagaan yang tamat pada 12 Februari 2020 tidak dibenarkan diperbaharui semula oleh MBSJ.

Susulan itu, pemilik restoran, Kevin Chee diarahkan oleh MBSJ untuk mengemukakan semula kebenaran merancang kepada Jabatan Perancang Bandar, MBSJ sebelum permohonan lesen penuh perniagaan diberikan.

“Banyak kali saya panggil arkitek lukis pelan dan kita ikut keseluruhan spesifikasi pun masih ditolak.

“Sehingga ke hari ini MBSJ masih belum memberi sebarang jawapan kepada permohonan saya,” katanya.

Lebih menghairankan, kata Kevin, apabila restoran miliknya berjaya melepasi ujian dan pemeriksaan keselamatan atau kebakaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Saya mematuhi keseluruhan prosedur standard operasi (SOP) yang diperlukan oleh MBSJ dan pihak bomba.

“Walaupun pihak bomba ada mengeluarkan surat sokongan pelesenan daripada pihak bomba, namun MBSJ masih tidak memberi jawapan,” katanya.

Lebih menyedihkan kata Kevin sejak 7 Januari lalu, dia tidak dapat berniaga mahupun menerima pesanan makanan melalui FoodPanda dan GrabFood kerana restorannya tidak mempunyai lesen MBSJ.

“Tiga tahun lepas saya masih ada lesen sementara perniagaan, masa itu saya masih boleh berniaga, walaupun tiga kali saya tak dapat lesen penuh.

“Itu sebab saya susah nak berniaga. Tahun lepas kebanyakan pesanan daripada syarikat perkhidmatan penghantaran makanan.

“Masa itu saya masih dapat pesanan penghantaran, tapi sekarang tak dapat buat sebab lesen sementara saya telah dibatalkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette