KUALA LUMPUR – Seramai 5,240 rakyat Malaysia telah mendaftar menyertai kursus kemahiran dan pengetahuan menerusi e-LATiH yang baharu dilancarkan dalam tempoh 24 jam.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menjangka jumlah pengguna yang menggunakan platform e-LATiH akan mencecah kepada satu juta akhir Jun ini seterusnya bertambah kepada dua juta menjelang akhir tahun.
Jumlah yang memberangsangkan itu membuktikan rakyat Malaysia berjaya mengapdatasikan teknologi sebagai norma baharu mendapatkan pengetahuan.
“Saya berasa gembira kerana rakyat Malaysia telah merebut peluang ini dan memanfaatkan pengetahuan tersebut dengan baik. Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia dapat
menyesuaikan diri dan bersedia menerapkan teknologi dalam norma pembelajaran yang baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Saravanan memaklumkan telah mengarahkan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) untuk memperbanyakkan kandungan dan dimuatnaik ke platform e-LATiH setiap minggu selain penambahan kandungan dibuat dalam Bahasa Malaysia dan bahasa lain pada akhir bulan ini.
Jelas beliau, ini bagi memastikan ada lebih daripada 1,000 kursus yang tersedia untuk semua rakyat Malaysia secara percuma.
Manakala, dalam tempoh beberapa bulan akan datang, PSMB akan menambah lebih banyak ciri-ciri lain termasuk menghubungkan platform e-LATiH ke laman web pekerjaan
dan laman UpskillMalaysia yang diselaraskan oleh PSMB.
“Menerusi platform e-LATiH, PSMB akan dapat memantau penggunaan serta mengetahui minat rakyat Malaysia terhadap jenis-jenis kursus latihan melalui carian kursus yang paling popular.
“Ini membolehkan PSMB untuk merancang dan menyediakan lebih banyak kursus yang mempunyai permintaan tinggi dan lebih bermanfaat untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.
Menurutnya, PSMB juga akan membuka platform berkenaan kepada penyedia latihan tempatan dan antarabangsa untuk menawarkan kursus berbayar pada kadar yang berpatutan secara dalam talian kepada semua rakyat Malaysia di bawah seksyen premium dalam masa yang terdekat ini.
Selain itu, PSMB juga dalam usaha untuk memberikan sijil bertauliah dalam bentuk kelayakan mikro bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran atau menggunakan kelayakan ini untuk mencari pekerjaan baharu.
Saravanan berharap agar pengajaran dan pembelajaran menerusi platform e-LATiH ini akan menjadi lebih mudah untuk diakses oleh seluruh rakyat Malaysia. -MalaysiaGazette