Shahabudin mengusahakan perniagaan kedai gunting rambut secara tradisional di Sungai Ara, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Jika dahulu seni tukang gunting rambut klasik menjadi kegilaan semua masyarakat.

Namun momentum itu semakin kurang mendapat sambutan sehingga mengakibatkan golongan tersebut kian hilang ditelan zaman.

Tidak cukup itu, kehadiran tukang gunting hipster mengakibatkan pengusaha kedai gunting rambut tradisional kini berdepan situasi akan gulung tikar.

Menceritakan kelangsungan hidup sebagai tukang gunting tradisional, Shahabudin Abdullah, 76, berkata, perniagaanya kini hanya mengharapkan pelanggan tetap serta mereka yang berusia 40-an ke atas sahaja.

Shahabudin.

Jelas pemilik kedai gunting rambut di Sungai Ara itu, dirinya lebih terbeban apabila kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain antara sektor terakhir diberikan kebenaran beroperasi.

“Saya mengusahakan perniagaan ini sejak tahun 1999 dan ketika itu pendapatan sangat menguntungkan kerana orang ramai memilih kedai gunting rambut tradisional untuk mendapatkan khidmat memotong rambut yang lazimnya disertakan servis mengurut kepala dan leher.

“Pendapatan kini tidak memberangsangkan tambahan pula ketika PKP makin teruk saya terjejas hingga perlu berhutang untuk membayar sewa kedai berjumlah RM300,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Shahabudin terpaksa menukar waktu operasi kedainya bermula jam 4 petang hingga 10 malam untuk menjana pendapatan.

Shahabudin membersihkan peralatan dan kerusi di kedainya selepas kerajaan mengumumkan sektor gunting rambut dibenarkan operasi semula.

“Walaupun sudah berusia, saya terpaksa bersengkang mata pada waktu malam kerana tak banyak kedai gunting rambut buka, jadi mereka yang bekerja di siang hari boleh mendapatkan perkhidmatan saya,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu berseorangan.

Sementara itu, M.Jayakumar yang mengusahakan kedai gunting rambut peninggalan datuknya berkata, survival tukang gunting tradisional kian merudum menyebabkan dia terpaksa menggajikan warga asing yang lebih mahir dengan gaya rambut anak muda bagi menarik pelanggan.

Jayakumar.

Dia yang mengusahakan dua buah kedai di Dato Keramat dan Jalan Siam itu terpaksa berbuat demikian agar kedai berusia 60 tahun itu terus mampu ‘bernafas’ sekali gus menjana pendapatan demi kelangsungan hidup.

“Saya cuba mengekalkan kedai warisan ini walaupun cara pemotongan rambut bukan lagi secara tradisional tetapi usaha itu turut memberi kesan apabila saya terpaksa mengeluarkan wang simpanan bagi membiayai kos operasi dan pekerjanya.

“Mana tidaknya tatkala baru beroperasi semula selepas terjejas teruk akibat dipaksa ‘berhibenarsi’ kami sekali lagi terpaksa menutup pintu perniagaan susulan pelaksanaan PKP 2.0 baru-baru ini.

Jayakumar mengusahakan kedai peninggalan datuknya yang berusia 60 tahun di Dato Keramat, Pulau Pinang.

“Saya harap isu tukang gunting rambut terjejas mendapat perhatian kerajaan kerana kami juga mempunyai keluarga yang mengharapkan pendapatan daripada perniagaan ini untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan kedai gunting rambut beroperasi semula.

Kata beliau, perkara itu diputuskan setelah penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan selepas melihat tiada kluster baharu daripada sektor itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast