TAIPING – Taktik seorang lelaki mengiklankan rumah sewa di media sosial sebelum memancing penyewa membayar wang deposit terbongkar selepas dia ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di kawasan kediaman Pokok Assam selepas pihaknya menerima laporan berhubung kegiatannya pada Khamis lalu.
“Mangsa yang membuat laporan itu mendakwa kerugian RM1,500 akibat terpedaya dengan iklan yang dimuat naik di media sosial suspek.
“Hasil siasatan mendapati suspek akan mengiklankan kekosongan rumah sewa sebelum meminta mangsa membayar wang deposit,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut juga mendapati terdapat laporan atas modus operandi yang sama di daerah Kerian.
“Kita syak individu yang sama melakukan penipuan di Kerian berdasarkan modus operandinya.
“Suspek kini ditahan reman sehingga 11 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujar Osman. – MalaysiaGazette