KUALA LUMPUR – Prestasi Sektor Perkhidmatan bagi suku tahun keempat 2020 merekodkan kenaikan 1.7 peratus suku tahun-
ke-suku tahun dengan hasil sebanyak RM435.9 bilion, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, yang meningkat 1.5 peratus kepada RM351.3 bilion dan diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan yang meningkat 3.4 peratus kepada RM61.9 bilion.
Bagi perbandingan tahun-ke-tahun, jumlah hasil pada suku tahun keempat 2020 mencatatkan -5.1 peratus dengan pengurangan sebanyak RM23.3 bilion, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Hasil keseluruhan tahun 2020 menurun 8.1 peratus kepada RM1,637.8 bilion daripada RM1,781.5 bilion setahun yang lalu.
Menurutnya, jumlah pekerja dalam sektor ini adalah 3.7 juta orang berkurang seramai 10,501 orang atau -0.3 peratus suku tahun-ke-suku tahun.
Penurunan ini disumbang oleh subsektor maklumat dan komunikasi pengurangan seramai 6,175 orang atau -4.4 peratus, diikuti subsektor Pengangkutan dan Penyimpanan menurun sebanyak 2,528 orang atau -0.8 peratus.
Bagi perbandingan tahun-ke-tahun, jumlah pekerja berkurang sebanyak 128,705 orang untuk mencatatkan -3.4 peratus pada suku tahun keempat 2020.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, gaji dan upah yang dibayar turut menunjukkan penurunan sebanyak RM25.9 juta dengan
penguncupan marginal -0.1 peratus suku tahun-ke-suku tahun.
Penurunan ini disumbangkan oleh subsektor pendidikan dengan penurunan sebanyak RM37.0 juta atau -3.2 peratus.
Bagi perbandingan tahun-ke-tahun, gaji dan upah pada suku keempat 2020 merekodkan penurunan -4.5 peratus untuk
mencatatkan RM24.7 bilion.
Menurutnya, prestasi sektor perkhidmatan pada suku tahun keempat 2020 menunjukkan peningkatan lebih perlahan dari suku tahun ketiga 2020 yang menunjukkan proses pemulihan secara beransur-ansur, disokong oleh aktiviti ekonomi yang semakin banyak kembali beroperasi, ditambah dengan pelaksanaan pakej ransangan dan rancangan ekonomi jangka pendek oleh kerajaan seperti PENJANA. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast