Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kluster Pasai yang melibatkan beberapa daerah di Sarawak kini telah menjangkiti enam generasi sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan pada 9 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut yang telah menjangkiti seramai 2,363 individu setakat ini berpunca daripada kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dimaklumkan hingga kini, Kluster Pasai sudah merebak hingga ke 58 rumah panjang di Sarawak.

“Setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan 2,373 kes positif hasil 25,500 saringan dilakukan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, kluster berkenaan turut menjangkiti 46 petugas kesihatan di kawasan yang terjejas.

“Mereka (pesakit) datang ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan tetapi mungkin petugas kesihatan fikirkan ia zon hijau, maka jangkitan telah berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata, nilai kitaran ambang bagi Kluster Pasai adalah tinggi sekaligus menunjukkan kadar kebolehjangkitan sudah berkurangan.

“Strategi KKM awal lagi adalah untuk melindungi golongan rentan iaitu penduduk di pedalaman seperti rumah panjang dan orang asli.

“Kes ini berlaku apabila kes indeks pulang dari Johor ke Sarawak kerana ayahnya meninggal dunia.

“Sepatutnya dia dikuarantin di hotel tetapi menjalaninya di rumah panjang,” tambahnya.

Kluster Pasai mula dikesan di Sibu telah menjadi penyumbang terbesar kes positif Covid-19 di Sarawak. – MalaysiaGazette