Najib Razak

KUALA LUMPUR – Tempoh inkubasi Covid-19 ialah antara lima hingga enam hari tetapi jika tiga hari sahaja menjalani kuarantin, ia lagi bahaya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, lagi bahaya jika mereka yang telah dijangkiti, dibebaskan dari tempoh kuarantin lebih awal kerana memudahkan menjangkiti orang lain yang menyangka mereka telah bebas dari Covid-19.

Ia terbukti ketika kuarantin kendiri tiga hari yang dikenakan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mereka yang pulang dari berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September dan Oktober tahun lalu, katanya.

Beliau memberi contoh, kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei yang pulang dari Sabah pada 27 September 2020 didapati positif  pada 2 Oktober dan menjalani kuarantin kendiri selama tiga hari sehingga 30 September selepas ujian pertamanya negatif.

Jelasnya, ADUN Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof yang pulang dari Sabah pada 28 September didapati positif Covid-19 pada 2 Oktober selepas sehari sebelum itu keputusan ujian saringan ke atasnya menunjukkan negatif.

“Lagi bahaya jika jangkitan yang tersalah lepas ialah dari luar negara sebab ada kebarangkalian ia mutasi Covid-19 baru yang lebih ganas seperti mutasi United Kingdom (UK) dan mutasi Afrika Selatan.

“Pada ketika kes aktif sudah mencecah 51,000 dan kapasiti KKM sudah jauh dilepasi, sistem kesihatan kita tidak mungkin dapat bertahan jika mutasi UK yang menular dengan kadar 70 peratus lebih laju merebak ke negara ini,” katanya yang dipetik menerusi Facebooknya hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dilaporkan berkata, kementeriannya telah mengeluarkan perintah melonggarkan peraturan kuarantin kepada rakan anggota kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.

Perintah “Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021” yang terbit pada Warta Persekutuan semalam, pada dasarnya mengurangkan tempoh kuarantin menteri dari 10 hari kepada tiga hari.

Ia ditandatangani Adham dan berkuatkuasa mulai hari ini dengan merujuk kepada Akta (342) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988”.

Seksyen 15 akta itu memperuntukkan, “Seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai”.

Pada Khamis lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan melakukan lawatan rasmi ke Indonesia selama dua hari, bagi memenuhi undangan Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Lawatan itu adalah yang pertama Muhyiddin sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020. – MalaysiaGazette