Gambar hiasan

KUANTAN – Polis Pahang melumpuhkan satu kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan yang dipercayai aktif sekitar Lembah Klang, susulan penahanan seorang lelaki bersama dadah jenis syabu dianggarkan seberat 32.693kg bernilai lebih RM1.47 juta, Sabtu lepas.

Ketua Polis Pahang, Abd Jalil Hassan berkata, suspek berusia 40 tahun ditahan pada jam 4.45 petang dalam sekatan jalan raya di kilometer 7, Kuala Lipis kira-kira 243km dari sini, oleh pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Beliau berkata, polis percaya kegiatan individu ini telah aktif sejak tiga bulan lalu, dan suspek yang tidak bekerja itu dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas mengambil bekalan di sebuah negeri di Pantai Timur.

“Dadah itu ditemukan di bahagian tempat letak barang kereta jenis Perodua Bezza dan dibungkus dalam 31 bungkusan teh cina dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa, yang kemudiannya disimpan dalam empat beg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Jumlah dadah yang dirampas itu dipercayai dapat digunakan 65,386 orang penagih.

Siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Kelantan mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan lima kesalahan jenayah, selain turut positif dadah.

Suspek kini direman selama tujuh hari mulai Ahad lepas, dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, Timbalan Ketua Polis Pahang, Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 22 dan 39 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin secara haram.

Beliau berkata, suspek ditahan pada jam 11.15 pagi hari ini, di dua premis perniagaan di Jalan Gambang di sini, dalam serbuan oleh pasukan cawangan D7 (Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) serta Unit Pengekangan Kecurian Arus (SEAL) Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Siasatan awal mendapati suspek membuat penyambungan elektrik secara haram yang menyebabkan TNB mengalami kerugian kasar RM80,000 sebulan sejak premis itu mula beroperasi tiga bulan lepas. Selain itu, kita turut merampas 159 mesin bitcoin,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Yusri berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri elektrik yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya dan Seksyen 427 kanun sama iaitu khianat yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama