MADRID – Real Madrid kini berada dalam keadaan dilema apabila harapan mereka memujuk bintang sensasi, Sergio Ramos berkecai.
Laporan di Santiago Bernabeu mendakwa pemain bek pertahanan pasukan gergasi La Liga Sepanyol itu menolak tawaran sambung kontrak bersama Los Blancos.
Lebih mengecewakan semua pihak pemain itu juga memilih kelab gergasi England, Manchester United sebagai destinasi seterusnya.
Berita itu turut memusnahkan impian kelab terkaya Perancis, Paris Saint Germain yang bersungguh-sungguh untuk mengikat pemain berusia 34 tahun itu.
Berita di Sepanyol menyebut Ramos menolak tawaran terbaharu Los Blancos kendalian Zinedine Zidane.
Ejen pemain itu dilaporkan akan terbang ke Old Trafford pada minggu hadapan untuk memuktamadkan kontrak perjanjian bersama the Red Devils.
Kontrak Ramos bersama Real Madrid akan tamat akhir musim ini iaitu pada Jun ini dan dia bebas berunding untuk menyertai mana-mana kelab lain tanpa terikat dengan sebarang klausa pelepasan di La Liga Sepanyol.
Real tanpa berputus asa menawarkan kontrak baharu dua tahun namun ditolaknya.
Ejen René Ramos akan melawat Manchester United pada Isnin depan untuk meneliti dan memuktamadkan pakej dua tahun di Theatre of Dreams.
Difahamkan Ramos akan menerima gaji mingguan berjumlah £200,000 di Old Trafford.
Real yang dikatakan akur dengan keputusan Ramos sudah merancang untuk mengisi kekosongan pemain itu dengan David Alaba dari Bayern Munich.
Alaba dikatakan akan menandatangani kointrak tiga tahun bersama Real Madrid kelak.
Selepas Ramos tidak diturunkan dalam skuad utama sejak kekalahan kepada Atletico Madrid dalam saingan Piala Super Sepanyol 14 Januari lalu, Zidane menyatakan pendiriannya untuk mengekalkan khidmat Ramos di Santiago Bernabeu.
“Ya. kami semua di sini harapkan (Ramos perbaharui kontrak) dan kami mahu situasi ini ditangani segera,” katanya.
United kendalian pemain legendanya Ole Gunnar Solskjaer tanpa berselindung meluahkan hasrat untuk mendapatkan khidmat Ramos.
Impak Zlatan Ibrahimovic di Old Trafford dua musim lalu terbukti Manchester United tidak berdepan masalah untuk membawa masuk pemain berkelas dunia.
Ia dibuktikan dengan kemasukan bintang berbisa Uruguay Edinson Cavani musim ini yang berjaya membuktikan dirinya masih berbisa menerusi tujuh gol setakat ini.-MalaysiaGazette