Pemasangan meter pintar dijalankan oleh kontraktor yang dilantik TNB, - Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR –  Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyasarkan untuk meluaskan pemasangan meter pintar di Lembah Kelang pada tahun ini.
Setakat ini, sebanyak satu juta unit telah dipasang di Melaka dan Lembah Klang sekali gus menjadi pencapaian penting TNB sejak pemasangan meter pintar bermula empat tahun lalu di Melaka.
Pemasangan meter pintar di seluruh Malaysia bertujuan menambahbaik kehidupan pengguna melalui penyedian akses, ketelusan dan kawalan yang lebih baik terhadap penggunaan tenaga harian mereka.
”Di sebalik cabaran yang dihadapi pada tahun 2020, saya berbangga dengan kemajuan kami yang selaras dengan sasaran pemasangan 1.5 juta unit menjelang penghujung tahun 2021,” kata Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian, TNB, Datuk Ir. Baharin Din dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi tahun 2021, TNB berharap lebih ramai pelanggan mengambil langkah dengan penggunaan meter pintar dan membuat pilihan yang cekap tenaga untuk masa depan yang lebih hijau dan tenaga yang lebih lestari.
TNB juga merekodkan peningkatan jumlah pengguna myTNB yang ketara, daripada 1.4 juta kepada 4.7 juta, iaitu 236 peratus peningkatan daripada Disember 2019 hingga Disember 2020.
Platform myTNB membolehkan pemilik rumah menyemak dan membayar bil mereka secara digital.
Para pengguna digalakkan memuat turun dan menggunakan aplikasi atau melayari portal myTNB bagi menyemak dan membayar bil bulanan mereka, pengguna yang mempunyai meter pintar di kediaman pula dapat memantau penggunaan elektrik harian mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast