ALOR SETAR – “Jangan abaikan shelter, jaga anak-anak (kucing dan anjing) itu sebaik mungkin”.
Itu kata-kata terakhir dan amanah yang disampaikan Hajilah Idris atau Mak Intan kepada anak sulungnya.
Menurut Badirul Hisham Ramli,53, walaupun ibunya bertarung nyawa melawan kanser ovari di hospital namun wanita itu tidak putus mengingatkan mereka untuk menjaga pusat jagaan haiwan terbiar itu.
“Tahap kesihatan mak memang tak berapa memandangkan faktor umur tetapi dia tetap mengerahkan kudrat yang ada bagi memastikan kucing dan anjing itu sentiasa terjaga.
“Cuma bila sedar daripada pembedahan beberapa hari lepas, banyak pesanan berkaitan Shelter yang disampaikan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Kata Badirul Hisham, pihaknya kini dibelenggu dengan isu notis perobohan Shelter yang diusahakan ibu dan ayah sejak tahun 1990.
Jelasnya, mereka mendapat notis daripada pihak berkuasa tempatan berkaitan isu itu pada 4 Februari lalu dan sehingga kini belum mendapat tanah baru untuk menempatkan semua haiwan terbiar itu.
“Mak memang tak tahu tentang notis ini, tetapi ketika menyampaikan pesanan kepada kami sekeluarga dia seolah-olah tahu nasib yang bakal menimpa ratusan anjing serta kucing yang dijaganya sebelum ini.
“Kami kini dalam proses perbincangan dengan pihak Sime Darby untuk mendapatkan tempat baru. Saya harap semua urusan penempatan semula haiwan itu berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Pak Mie Shelter iaitu pusat jagaan haiwan untuk anjing dan kucing yang diasaskan oleh Allahyarham Muhammad Azmi Ismail mencetuskan kontroversi setempat sejak beberapa tahun lalu.
Pusat jagaan itu itu diusahakan Mak Intan selepas kematian suaminya pada tahun 2015.
Pusat tersebut kini menempatkan sehingga 300 ekor anjing dan lebih 200 ekor kucing jalanan. – MalaysiaGazette