DUBAI – Emiriyah Arab Bersatu (UAE) melakar sejarah apabila menjadi negara Arab pertama tiba di planet Marikh.
Misi Marikh dengan menggunakan kapal angkasa robotik, Hope, tiba di planet merah itu pada jam 7.42 petang waktu tempatan semalam dan menghantar isyarat ke bumi setengah jam kemudian.
Pasukan kawalan darat di Pusat Angkasa Mohammed Bin Rashid di Dubai riuh dengan sorakan.
Para pakar mengunjurkan peluang kapal angkasa robotik itu memasuki orbit Marikh adalah kira-kira 50 peratus sejak lebih daripada setengah setelah misi ke Marikh menemui kegagalan.
Tempoh untuk memasuki orbit itu mendebarkan yang mana selama 27 minit Hope perlu memperlahankan kelajuannya daripada 100,000 kilometer sejam (km/j) kepada 18,000 km/j dengan menghidupkan tujahannya.
Berikutan itu, ia menggunakan separuh daripada bahan bakarnya bagi membolehkan kapal angkasa robotik itu ditarik graviti dan memasuki orbit Marikh.
Terdapat kelewatan 11 minit komunikasi ke bumi ketika para saintis dan jurutera yang terbabit dalam projek tersebut – termasuk 200 warga UAE, menunggu sama ada misi tersebut berjaya.
Operasi itu berisiko dan perlu dilaksanakan dengan tepat kerana tempoh tersebut merupakan jarak paling rapat antara bumi dengan planet merah itu dan ia berlaku sekali dalam dua tahun.
UAE merupakan negara kedua selepas India yang berjaya memasuki orbit Marikh pada percubaan kali pertama, walaupun percubaan-percubaan telah dilakukan sejak 1960an.
Projek selama enam tahun itu menjadikan negara kecil di Teluk isebagai negara kelima yang tiba di Marikh.
Pada kebiasaannya misi seperti ini mengambil masa selama 10 tahun untuk mereka dan merancang, kata Menteri Teknologi Tinggi UAE yang juga Pengerusi Agensi Angkasa UAE, Sarah al-Amiri.
“Cabaran pertama kami ialah mereka satu misi ke planet lain untuk pertama kali,” kata al-Amiri kepada wartawan CNBC, Dan Murphy pada awal minggu ini.
“Ia termasuk menggerakkan pasukan kami yang menjalankan tugas satelit pemantauan bumi, yang kemudiannya memenuhi dan mengurangkan jurang, kerana kapal angkasa yang mengorbit bumi lain sedikit daripada kapal angkasa yang menuju ke planet lain.
“Cabaran-cabaran yang dihadapi adalah teknikal, kami perlu memastikan kebergantungan kapal angkasa ini untuk pengembaraannya, yang mana ia boleh berfikir untuk dirinya, komponen-komponen dalam kapal angkasa boleh beroperasi semasa misi ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette