Mahathir Mohamad vs Najib Razak

KUALA LUMPUR – ‘Perang’ antara kedua-dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak nampaknya masih belum reda.

Terbaharu, Mahathir menggesa agar Najib tidak campur tangan terhadap dakwaan bahawa bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu tidak mencampuri urusan perundangan di negara ini.

“Saya rasa Najib tak payah campur tangan dengan tuduhan terhadap saya. Dia harus fokus kes curi duit rakyat berbilion-bilion dalam 1MDB.

“Dia juga perlu bagi perhatian saman Tommy Thomas yang kait dia dengan pembunuhan Altantuya. Lagipun, kalau isu yang berlaku 1987/88, Najib boleh ingat yang dia hunus keris dan nak mandikan keris dengan darah orang Cina,” katanya di Facebook hari ini.

Mahathir mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Pekan itu yang mengetawakan dakwaan Mahathir tidak mencampuri badan kehakiman, lalu berkongsi pengalamannya sekitar pembatalan pendaftaran UMNO pada tahun 1988.

“Ha ha ha! Mahathir kata pembatalan pendaftaran UMNO bukti dia tidak campuri badan kehakiman adalah pembohongan terbesar dalam sejarah kehakiman,” tulis Najib.

Mahathir dalam temubual bersama FMT berkata, beberapa keputusan mahkamah ketika itu tidak memihak kepada dirinya termasukan apabila UMNO diharamkan pada 4 Februari 1988.

Menyangkal dakwaan itu, Najib berkata UMNO berpecah kepada dua pasukan iaitu ‘pasukan A’ dan ‘pasukan B’ pada pemilihan parti itu pada April 1987.

Malah Najib juga berkata ia direkod dengan baik malah dakwaan itu tidak dinafikan Mahathir.

“Sebanyak 1,500 perwakilan mengundi dan Tengku Razaleigh dijangka menang selepas kemelesetan 1985 tetapi selepas berlaku blackout di bilik kiraan undi Mahathir pula yang menang dengan 761 undi mengatasi 718 undi yang diperoleh Tengku Razaleigh. Perbezaan sebanyak 43 undi,” lapor FMT.

Najib berkata, pasukan Tengku Razaeligh mendakwa 78 perwakilan yang mengundi adalah dari 30 cawangan parti yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan oleh itu undi itu boleh dianggap tidak sah.

Untuk rekod, Najib sebelum ini didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast