Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Setiawan, Perak berkuatkuasa esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu ekoran pengesanan 16 kes positif Covid-19 setelah 43 ujian saringan dibuat di kawasan tersebut.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Setiawan, Perak bermula 11 sehingga 24 Februari 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar yang melibatkan 400 orang penduduk dan untuk mengawal jangkitan dalam komuniti,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 589 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Daripada jumlah itu, 543 dikompaun, 42 individu direman manakala empat lagi dijamin,” katanya lagi.

Antara kesalahan yang direkodkan adalah tiada penjarakan fizikal (184), tidak memakai pelitup muka (130), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (56), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (36), keluar rumah tanpa alasan munasabah (25), aktiviti pusat hiburan (13), membawa penumpang berlebihan (11), ingkar perintah kuarantin (7), dan lain-lain (63).

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan Operasi Benteng (Op Benteng) berjaya menahan 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) semalam bersama-sama tujuh buah kenderaan darat serta tiga buah kapal turut dirampas dalam operasi itu. – MalaysiaGazette