KUALA LUMPUR – Belum ada keputusan konklusif sama ada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadual berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos ini akan diteruskan atau sebaliknya, kata Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Sedangkan kata Menteri Belia dan Sukan, sukan terbesar itu akan bermula lebih kurang 163 hari lagi daripada tarikh hari ini.
“Apakah ia akan diteruskan? Apakah kita mampu mendapat pingat emas pertama untuk Malaysia?
“Semua ini masih lagi dalam ketidaktentuan kerana keadaan dan penganjuran Sukan Olimpik ini masih belum dapat diputuskan secara konklusif,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.
Bagaimanapun, Reezal Merican tidak menolak kemungkinan temasya terbesar dunia itu dianjurkan tanpa kehadiran penonton tetap ada.
“Jawatankuasa penganjur menyediakan buku panduan mengenai penganjuran yang antara lain menyentuh soal SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan kemungkinan Sukan Olimpik diadakan tanpa penonton sememangnya wujud,” katanya.
Sukan Olimpik Tokyo yang sepatutnya berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos tahun lalu terpaksa ditangguhkan susulan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia dan sehingga kini masih belum reda.
“VSN2030 akan menjadi ‘blueprint’ kita yang terbaru. Kita cukup berbangga dengan pencapaian Datuk Nicol David (bekas ratu skuasy negara) yang berjaya dinobatkan sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia. Namun, selain daripada itu, pencapaian bidang sukan secara keseluruhannya masih boleh dipertingkatkan,” katanya. – MalaysiaGazette