Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) merayu kerajaan untuk memberi kebenaran restoran beroperasi dengan had dua orang setiap meja.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan peniaga.

Namun, Timbalan Menteri Perdangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berharap disiplin ini terus diperkemaskan bagi memastikan usaha kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19 berjaya.

“Tahap pematuhan SOP yang tinggi dapat dilihat apabila pelanggan yang datang ke pusat beli belah ini duduk berasingan mengikut had ditetapkan iaitu dua orang semeja serta melakukan penjarakan sosial sejauh satu meter.

“Pelanggan juga tidak lupa memakai topeng pelitup muka, merekod kemasukan ke premis melalui aplikasi MySejahtera dan menggunkan cecair sanitasi tangan,” katanyaselepas melakukan lawatan di sebuah pusat beli-belah di sini.

Rosol berkata, pemain industri dan orang ramai dinasihatkan supaya  tidak alpa dengan kepentingan menjaga SOP bagi mengelak risiko penularan kluster baharu Covid-19.

“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, usaha memerangi penularan Covid-19 akan berjaya dan kerajaan dapat memberi lebih banyak kelonggaran dalam merancakkan semula pertumbuhan sektor ekonomi dari semasa ke semasa.

Katanya, sejak 8 Mei tahun lalu hingga 9 Februari 2021, penguatkuasa KPDNHEP telah memeriksa sebanyak 361,454 premis di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 353,122 premis didapati patuh SOP, 7,614 diberi nasihat, 584 diberi amaran dan selebihnya dikenakan kompaun.

Berdasarkan statistik berkenaan menunjukkan tahap pematuhan ke atas SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya bagi sektor borong dan runcit berada pada tahap yang tinggi iaitu sejumlah 353,122 atau 97.69% daripada keseluruhan 361,454 jumlah premis yang diperiksa.

Beliau berkata, antara premis-premis yang dikenakan kompaun termasuklah farmasi, kedai telekomunikasi, restoran, kedai aksesori kenderaan, kedai pakaian dan bengkel kenderaan.

Serentak dengan pembukaan sektor peruncitan baharu bermula hari ini, pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNHEP akan melipatgandakan pemeriksaan di premis-premis tersebut untuk memastikan pematuhan SOP.

“Mereka juga akan memantau pelaksanaan ‘dine-in’ di restoran-restoran supaya SOP dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Peserta industri dan pengguna yang gagal mematuhi SOP akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta kompaun. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast