K. Rajagobal memulakan latihan bersama pasukan kebangsaan Brunei.

KUALA LUMPUR – Bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal memulakan tugas pertamanya sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Brunei minggu ini sejak dilantik secara rasmi pada Januari lepas.

Perkara itu diumumkan di media sosial Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).

Seramai 25 pemain telah dipilih menjalani latihan pusat sehingga 17 Februari ini dan Rajagobal mempunyai misi untuk membawa Brunei layak ke saingan AFF Suzuki Cup 2021 secara merit.

Berdasarkan tinjauan di media sosial, peminat bola sepak Brunei sangat teruja dengan kehadiran Rajagobal dan mereka berharap jurulatih berusia 64 tahun itu dapat mengubah prestasi pasukan kebangsaan mereka.

Brunei kini menduduki ranking ke-191 dunia dan sudah lama tidak memenangi apa-apa kejuaraan di peringkat antarabangsa.

Pencapaian terbaik Brunei ialah meraih kedudukan ke 4 dalam Piala Solidariti AFC pada tahun 2016.

Rajagobal adalah individu bertanggungjawab membawa Malaysia muncul juara Kejuaraan AFF buat julung kali pada 2010 selain turut membimbing Skuad Bawah 23 Tahun negara mengakhiri kemarau 20 tahun meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast