SEMUA individu adalah sama disisi undang-undang. Tidak boleh ada sebarang pengecualian terhadap perkara ini sekiranya kita ingin hidup dalam sebuah masyarakat yang hidup aman dan sejahtera. Setiap orang yang didapati melanggar sebarang jenis peruntukan undang-undang perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira latar
belakang mereka.
Perkara yang sama juga di dalam aspek merangka sebarang jenis peraturan atau undang- undang dalam negara kita. Setiap peraturan atau undang-undang yang ingin dirangka perlu meliputi semua pihak tanpa mengira latar belakang mereka. Peraturan dan undang-
undang adalah perkara yang paling penting dalam setiap masyarakat.
Tanpa adanya peraturan dan undang-undang yang adil dan saksama, sesebuah masyarakat tidak akan dapat hidup dalam keadaan aman dan tenteram. Tanpa adanya peraturan dan undang-undang yang adil dan saksama ini juga sukar untuk kita membendung penularan virus Covid-19 dalam negara kita pada ketika ini.
Baru-baru ini kita dimaklumkan dengan berita penguatkuasaan peraturan baru yang melibatkan menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara dikecualikan daripada menjalani pemerhatian atau pengawasan 10 hari seperti dilalui oleh rakyat biasa. Peraturan baharu itu menyatakan menteri yang berkenaan hanya perlu menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.
Peraturan baru ini berkuatkuasa bermula 9 Februari sehingga 1 Ogos. Proses pemerhatian dan pengawasan atau lebih dikenali sebagai tempoh kuarantin adalah penting untuk dilakukan oleh semua pihak yang terlibat di kala negara kita menghadapi penularan pendamik Covid-19. Dalam mewujudkan sebarang jenis peraturan dan undang-undang, adalah penting peraturan dan undang-undang ini meliputi semua pihak bagi mengelakkan salah faham dan konflik antara orang ramai.
Sekiranya sesebuah peraturan dan undang-undang itu hanya dirangka khusus untuk
orang tertentu sahaja manakala sebilangan orang lain tidak perlu mengikutnya, dibimbangi ia boleh mengundang perasaan marah dan tidak puas hati ramai pihak.
Sejak beberapa minggu yang lalu, negara kita telah mencatatkan jumlah kes jangkitan virus Covid-19 yang tinggi melibatkan ribuan orang.
Jumlah kematian akibat daripada jangkitan virus. Covid-19 ini juga telah meningkat sejak
kebelakangan ini. Tujuan kuarantin dilakukan supaya kita boleh mengesan gejala atau perkembangan penyakit sepanjang tempoh inkubasi 2 – 12 hari. Sekiranya seseorang itu tidak menjalani tempoh kurantin yang sepatutnya ia dibimbangi boleh meningkatkan lagi risiko jangkitan virus Covid-19 dalam kalangan masayarakat.
Adalah penting supaya peraturan atau undang-undang yang ingin dirangka dikuatkuasakan dengan sama adil kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang
mereka. Isu yang melibatkan kesamaratan ini juga jelas termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan kita.
Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”. Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa “Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang…”
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan ini jelas menunjukkan bahawa kita perlu melayan semua pihak dengan adil dan saksama. Prinsip sama rata di sisi undang-undang ini juga adalah sebahagian daripada prinsip hak asasi manusia. Artikel 7 Perisytiharan Hak Asasi
Manusia Sejagat 1948 jelas menyatakan bahawa “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak tanpa apa-apa pembezaan kepada perlindungan yang
sama rata. Semua orang adalah berhak kepada perlindungan yang sama rata daripada
sebarang pembezaan yang melanggar Perisytiharan ini dan daripada sebarang hasutan terhadap pembezaan sedemikian”.
Pada masa yang sama juga, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar segala perintah yang telah dikeluarkan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan dalam negara kita pada ketika ini. Tindakan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman yang sama adil perlu dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah tanpa mengira latar
belakang, keturunan, warna kulit serta status kedudukan mereka.
Penegasan penguatkuasaan proses undang-undang terhadap perkara ini penting sekiranya kita ingin memastikan negara kita bebas sepenuhnya daripada
ancaman wabak virus Covid-19. Semua pihak perlu mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan serta dikenakan hukuman yang sama sekiranya mereka langgarnya,
Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tidak diadili atau dihukum dengan seadi-
adilnya, negara kita akan hadapi krisis kepercayaan. Kerjasama semua pihak adalah penting sekiranya kita ingin membendung virus Covid-19 ini dengan cepat dan dengan
jayanya dalam negara kita.
Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)