KUALA LUMPUR – Tiada isu sistemik dalam operasi Sime Darby Plantation Bhd (SDP) berdasarkan penilaian dalaman syarikat itu yang dijalankan baru-baru ini di seluruh operasinya di Malaysia, sekali gus menepis dakwaan penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluarannya, demikian menurut SDP.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu menegaskan ia kekal komited untuk menyelesaikan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP).
“Dapatan kami tidak menemukan sebarang isu sistemik dalam operasi kami.
Sementara itu, SDP mengekalkan komitmennya dengan semua pelanggan untuk memastikan mereka sentiasa diberikan perkembangan terkini dan menilai semua perkembangan.
Syarikat itu berkata demikian sebagai maklum balas kepada laporan berita baru-baru ini bertajuk ‘Buyers shun major Malaysian palm oil producers after forced labour allegations’ yang menyatakan bahawa pembeli utama minyak sawit cuba menghalang FGV Holdings Bhd dan SDP daripada rantaian bekalan global mereka selepas Amerika Syarikat (AS) melarang import daripada kedua-dua pengeluar tempatan itu.
SDP berkata, para pelanggan utamanya telah menyatakan sokongan dan bekerjasama rapat agar lebih memahami dakwaan yang dibuat terhadap kumpulan perladangan itu.
“Kebanyakan pelanggan kami memberi komitmen untuk mendapatkan sumber lestari, sekali gus menghargai dan memahami usaha kami untuk memastikan operasi dapat dikendalikan dengan baik, mampan dan bertanggungjawab,” katanya.
Untuk rekod, CBP telah mengumumkan bahawa berkuat kuasa pada 30 Disember lepas, minyak sawit dan produk berasaskannya keluaran SDP dan anak-anak syarikat, usaha sama dan entiti sekutu di Malaysia, akan disekat daripada memasuki negara itu.
CBP memberi alasan Arahan Sekatan Pelepasan itu dikeluarkan susulan terdapat ‘maklumat munasabah’ mengenai petunjuk buruh paksa dalam proses pengeluaran SDP. – MalaysiaGazette