JARINGAN keselamatan sosial merupakan instrumen penting dalam dasar kebajikan nasional. Perlindungan sosial ini boleh disedia dan diberikan dalam bentuk bantuan kewangan dan bukan kewangan, disalurkan kepada mereka yang berhak dan memerlukan. Antara jenis bantuan tersebut adalah seperti pemberian wang tunai, makanan atau barangan asas lain, subsidi serta pengecualian yuran atau bayaran perkhidmatan.
Bantuan-bantuan sebegini mungkin memberi tumpuan kepada golongan miskin dan tidak
berkemampuan (seperti pemberian wang tunai) atau kepada masyarakat secara keseluruhannya (untuk perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan). Lazimnya, setiap negara mempunyai skim-skim bantuan sebegini untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Program-program berkaitan jaringan keselamatan sosial berupaya melindungi golongan yang berisiko tinggi daripada terdedah dan terkesan dengan perubahan atau krisis semasa seperti kemelesetan ekonomi, bencana alam dan sebagainya. Contoh terdekat adalah kemelut pada masa kini. Krisis ekonomi-kesihatan yang telah menghimpit
ruang penjanaan ekonomi keluarga lantas menyebabkan ramai di antara mereka dibebani dengan tekanan kewangan yang serius.
Jumlah simpanan yang sedikit atau tiada simpanan menyebabkan mereka terdesak untuk mendapatkan bantuan, daripada kerajaan atau daripada badan-badan bebas atau individu yang sanggup membantu. Data Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) melaporkan terdapat seramai 99,696 pekerja telah diberhentikan antara bulan Januari hingga November tahun 2020 akibat penularan pandemik. Hal ini telah menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan tetap.
World Economic Forum melaporan bahawa penguncupan pertumbahan ekonomi global tahun 2020 yang dianggarkan pada kadar -3.5 peratus, membuktikan betapa terkesannya sektor ekonomi di peringkat dunia akibat penularan pandemik. Trend yang sama turut berlaku di Malaysia, ditambah lagi dengan isu ketidakstabilan politik dalam
negara yang telah memberi kesan langsung kepada perkembangan ekonomi nasional.
Pada tahun lalu, direkodkan berlaku penurunan sebanyak 68 peratus pelaburan langsung asing yang berjumlah hampir US$2.5 bilion di Malaysia. Kelembapan pasaran dan kitaran ekonomi sukar memangkin peluang pekerjaan kepada orang ramai.
Lantas, menjerumus mereka yang tidak bernasib baik ke kancah penggangguran dan kemiskinan. Jabatan Statistik melaporkan, pada tahun 2020, kadar pengangguran di Malaysia berada pada kadar 4.8 peratus, iaitu peningkatan sebanyak 0.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Manakala, sejak tahun 2019, kadar kemiskinan tegar direkodkan berada pada paras 5.6 peratus (iaitu kira-kira 400,000 isi rumah), dengan jumlah pendapat mereka yang tidak cukup untuk menampung keperluan asas
harian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Pada tahun yang sama juga, kemiskinan relatif direkodkan pada kadar 17% (iaitu kira-kira 1.2 juta isi rumah), iaitu pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000. Kesemua mereka ini berisiko tinggi untuk terjerumus dalam kemiskinan tegar akibat situasi krisis kesihatan-ekonomi pada masa kini.
Keadaan ini diandaikan akan menjadi bertambah buruk di saat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0). Maka, kerajaan diseru untuk memberi perhatian kepada isu ini. Jaringan keselamatan sosial harus diperkukuhkan untuk membantu golongan berisiko tinggi yang terdedah dengan ancaman semasa. Dasar dan program kerajaan harus diselaraskan mengikut kesesuaian kawasan dan latar belakang penduduk.
Bantuan-bantuan bersesuaian juga perlu dikoordinasi dengan baik, agar isu dan permasalahan yang berlaku diselesaikan mengikut strategi dan cara penyelesaian yang sewajarnya.
Jika ianya isu berkaitan pendidikan, cara dan kaedah penyelesaian mungkin berbeza antara bandar dan luar bandar. Darjah keseriusan juga mungkin berbeza antara kawasan-kawasan dan kelompok populasi. Isu- isu seperti perolehan atau pemilikan peranti pembelajaran, kebolehcapaian internet, celik IT yang bukan sahaja kepada pelajar dan guru, malah kepada ibu-bapa atau penjaga yang mungkin mempunyai kadar celik IT yang rendah, kesemua ini perlu diberi perhatian.
Manakala, dari segi bantuan kewangan, makanan dan keperluan asas lain, strategi mungkin tidak jauh berbeza daripada apa yang pernah dilaksanakan sebelum ini. Namun, liputan penerima mungkin lebih meluas dan bertambah dari semasa ke semasa. Data isi rumah yang memerlukan bantuan harus dikemaskini. Mereka yang kurang berkemampuan perlu dikenal pasti dengan kadar segera supaya bantuan dapat disediakan dengan cukup dan diserahkan dengan kadar segera.
Kaedah permohonan dan penyerahan bantuan perlu mempertimbangkan kesesuaian setiap kelompok masyarakat. Sama ada secara konvensional, elektronik atau atau mana-mana yang kaedah yang wajar untuk keadaan semasa. Penting juga untuk mempertimbangkan selama mana perlindungan sosial ini mampu disediakan dan
apakah tindakan selanjutnya jika bantuan-bantuan ini tidak lagi diberikan pada masa akan datang.
Pelbagai implikasi mungkin berlaku, kepada kerajaan sendiri sebagai penyedia perkhidmatan atau rakyat sebagai penerima perkhidmatan. Selain itu, maklumat-maklumat penting berkaitan perlindungan dan bantuan atau yang seangkatannya perlu dimaklumkan secara meluas. Malah, penting juga untuk memaklumkan kepada
masyarakat bahawa perlindungan dan bantuan tersebut telah disediakan dan disalurkan kepada masyarakat.
Hal ini seharusnya diwar-warkan menerusi pelbagai platform media elektronik (televisyen, media sosial dan sebagainya) agar masyarakat tahu kerajaan telah berusaha untuk membantu masyarakat yang terkesan, secara langsung atau tidak langsung dan sebanyak mana bantuan telah disalurkan. Lihat sahaja bagaimana pemberi bantuan daripada organisasi bebas dan individu-individu tertentu mewar-warkan aktiviti-aktiviti amal mereka dan ini sudah cukup menarik perhatian orang ramai bukan sahaja untuk mengetahui tentang apa sedang berlaku, malah turut menghulurkan bantuan dan
menjaga antara satu sama lain.
Selain itu, perlu ada komunikasi dua hala yang seimbang antara kerajaan dan masyarakat. Supaya rintihan dan keluhan rakyat didengari dan diselaraskan dengan dasar dan program bersesuaian mengikut acuan keperluan sebenar rakyat. Pada masa yang sama juga, kapasiti dan kemampuan yang dimiliki kerajaan juga perlu diselaraskan.
Perkara-perkara ini harus diperhalusi dengan kadar segera. Tambahan lagi, ini tahun kedua kita berada dalam situasi yang sama atau mungkin tahun ini lebih buruk berbanding tahun lepas.
Seharusnya semua ini sudah distrategikan lebih awal. Kaedah dan prosedur bersesuaian bagaimana kita perlu berhadapan dengan perubahan drastik ini perlu dimuktamadkan, dan jika perlu, ditambah baik dari semasa ke semasa. Secara keseluruhannya, jaringan keselamatan sosial di Malaysia bukan sahaja hanya perlu ditambah baik, malah perlu diperkukuhkan. Dasar kebajikan perlu bersifat lebih komprehensif dan bersepadu
serta dilaksanakan secara sinergi antara institusi-institusi awam dengan kerjasama sektor swasta dan oganisasi bebas.
Hal ini dapat memastikan tindakan responsif dilakukan dengan lebih agresif dalam menjaga dan memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat dalam situasi krisis kesihatan-ekonomi yang sedang kita hadapi. Tindakan ini juga perlu diperkasakan dengan adil dan saksama agar tiada siapa ditinggalkan atau didiskrimasi hanya kerana latar belakang atau status mereka.
Dr Nur Hairani Abd Rahman
Pensyarah Kanan
Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran
Universiti Malaya