KUALA LUMPUR, 12 Feb — Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) berharap kerajaan akan membenarkan hotel menerima tetamu untuk menginap di dalam bilik hotel dan mengadakan mesyuarat.
Presidennya Tan Sri Teo Chiang Hong berkata, industri perhotelan yang kini sedang bergelut untuk terus bertahan demi kelangsungan perniagaan, turut berharap kerajaan agar tidak melarang pergerakan rentas negeri dan rentas daerah untuk membolehkan aktiviti pelancongan domestik kembali aktif.
“Jika tidak, banyak hotel tidak akan dapat bertahan atau menjalankan perniagaan mereka. Kita menjangkakan lebih banyak hotel akan ditutup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, industri perhotelan mengalami kerugian besar pada tahun lepas dengan beberapa hotel terpaksa gulung tikar yang mengakibatkan pemberhentian pekerja dan terdapat juga sejumlah hotel ditutup sementara untuk sesuatu tempoh yang tidak pasti, bergantung kepada keadaan pemulihan.
Menurut Teo, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 (PKP 2.0) dilaksanakan 13 Jan lepas, enam hotel ditutup, manakala terdapat banyak hotel yang beroperasi dengan terpaksa memotong 50 peratus gaji pekerja dan cuti tanpa gaji.
Katanya, pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, lazimnya adalah waktu yang sangat sibuk bagi perniagaan hotel yang akan menerima banyak tempahan untuk bilik dan F&B (makanan dan minuman), tetapi sayangnya, pada tahun ini, perkara itu tidak berlaku.
MAHO juga meminta kerajaan melanjutkan tempoh diskaun bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada 10 peratus kepada 15 peratus mulai Mac hingga September tahun ini.
Selain itu, membenarkan moratorium bagi perniagaan yang mempunyai permit, skim Bencana Pekerjaan (EIS) Pertubuhan Keselamatan Sosial PERKESO, penangguhan atau pengurangan penilaian serta penilaian caj tetap bulanan Indah Water Konsortium (IWK) yang berkait dengan nilai penilaian harta tanah. – MalaysiaGazette