Orang ramai mendengar khutbah yang disampaikan sebelum menunaikan solat Jumaat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 FEBRUARI 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perseteruan dalam kalangan pemimpin yang menggunakan senjata “fitnah” akan menjerumuskan negeri dan negara ke lembah kemusnahan.

Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor menerusi Mimbar Jumaatnya hari ini menegaskan, fitnah adu domba telah menghancurkan harapan rakyat yang bernaung dibawah pemimpin sebagai contoh ikutan, mengharmonikan antara satu sama lain, mentadbir negara dengan baik dan mensejahterakan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

“Fitnah adalah tuduhan atau tohmahan yang sengaja diada-adakan, sama ada ia berbentuk tulisan, gambar, video dan sebagainya.

“Fitnah adalah perbuatan keji yang boleh memburukkan atau memalukan seseorang, kumpulan atau institusi, sedangkan ia tidak benar sama sekali,” demikian menurut kandungan khutbah Jumaat hari ini.

Mimbar mengingatkan umat Islam agar tidak menggunakan kebebasan bersuara untuk menyebar sesuatu tanpa diselidiki kesan buruknya.

Katanya, perkembangan teknologi maklumat hari ini telah menyebabkan penyebaran fitnah berlaku dengan cepat dan meluas melalui medium aplikasi Whatsapp, Facebook, Instagram dan sebagainya.

Jelas mimbar lagi, sikap seumpama itu amat dilarang dilakukan oleh Islam kerana agama ini menganjurkan umatnya agar menyelidiki terlebih dahulu setiap berita yang diterima sebelum disebarkan kepada orang lain.

Ucapan dan tulisan fitnah boleh melahirkan sangkaan dan persepsi salah, membawa kebencian, persengketaan sesama sendiri dan seterusnya mencetuskan permusuhan, ujarnya.

“Fitnah akan membunuh karaktor dan menyebabkan kehinaan kepada seseorang. Pembuat fitnah bukannya bimbang akan kegagalan seseorang, sebaliknya sangat takut akan kejayaan orang lain.

“Justeru permusuhan dan pembunuhan karaktor ini pula bakal menjadi sebab musnahnya kerukunan bermasyarakat dan bernegara,” demikian jelas mimbar.

Menurut mimbar lagi, penyebar fitnah biasanya berselindung di sebalik istilah tertentu seperti “dengar khabar”, “dengar cerita” atau “mohon pencerahan, namun, apabila sesuatu fitnah disampaikan daripada seorang ke seorang yang lain, ia menjadi buah mulut tanpa henti dan diulang- ulang

Bagaimanapun katanya, maklumat yang belum sahih itu seolah-olah sudah menjadi fakta yang benar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Moga kita ambil pengajaran. Kita rakyat jangan terlalu taksub pada parti atau pemimpin. Diorg dah mmg kerja nak tunjuk sapa paling hero saja demi kesenangan kerjaya diorg. Sapa khidmat paling bagus, yg itu kita pilih.

Comments are closed.