RAKYAT Malaysia harus menghargai kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam negara ini. Sebarang perbuatan yang oleh memecah- belah kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam Malaysia perlu dihentikan. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana memiliki masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni sejak sekian lama.
Kita harus mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di negara-negara lain terutamanya di negara Amerika Syarikat pada tahun yang lalu yang mana tunjuk perasaan tercetus dalam kalangan penduduk kulit hitam yang tidak puas hati dengan layanan yang oleh sesetengah pihak berkuasa dan pemimpin kulit putih. Walaupun Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang paling maju sekali dalam dunia pada ketika ini tetapi mereka gagal mewujudkan sebuah masyarakat yang aman dan harmoni serta saling hormat- menghormati antara satu sama lain.
Semua pihak harus melakukan perubahan minda dan jiwa mereka supaya tidak mementingkan diri atau kaum mereka sahaja sekiranya kita ingin kekal hidup aman dan harmoni. Setiap individu adalah unik, setiap kaum juga adalah unik. Setiap daripada kita tidak diciptakan oleh Tuhan dengan sempurna, semua pihak memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing. Oleh yang demikian, adalah penting supaya kita semua dapat ketepikan sebarang perbezaaan kecil yang ada serta bersatu hati bagi saling lengkap melengkapi antara satu sama lain bagi membawa kebaikan buat semua.
Perkara ini juga jelas dinyatakan dalam agama Islam. Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al- Hujurat: Ayat 13 yang bermaksud “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa- bangsa dan bersuku- suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”. Ayat Qur’an ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa Tuhan telah ciptakan pelbagai kaum supaya kita dapat saling kenal- mengenali antara satu sama lain serta hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni bukan untuk saling benci- membenci atau hina- menghina antara satu sama lain.
Di dalam konteks sejarah negara Malaysia pula, semua kaum yang ada di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam memajukan dan memakmurkan negara ini sejak mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Hakikat ini harus diterima oleh semua pihak. Tiada pihak yang boleh mengaku bahawa hanya diri mereka yang memberi sumbangan terhadap kemajuan dan kemakmuran negara. Ini kerana Malaysia tidak mungkin dapat wujud sebagai sebuah negara yang dikenali dunia pada masa kini tanpa sumbangan semua kaum yang ada dalam negara ini.
Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Negara-negara kecil Qatar, UAE, Kuwait, dan baru-baru ini Dominican Republic lebih makmur lagi stabil dan aman harmoni dengan kepelbagaian kaum dan bangsa tinggal lama sehingga cucu-cicit di antara warga asing dan pribumi warga tempatan. Belum serik tanah rizab Melayu merosot ke 12% sehingga tergadainya Penang dan Sngapore.