Penduduk menerima laksa yang diberi ketika program Infaq Laksa secara pandu lalu oleh Norlida di Bukit Sentosa Rawang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 13 FEBRUARI 2021.

RAWANG – Demi ingatan kepada Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, keluarga angkatnya hari ini mengagihkan sebanyak 500 bungkus laksa secara percuma kepada penduduk di sekitar Rawang.

Ibu angkat allahyarham, Norlida Abu Hassan, 51, berkata, sudah 16 hari ‘pemergian’ Amir namun dia masih belum menyambung perniagaannya menjual laksa yang diusahakan di rumahnya.

“Amir memang menggemari laksa  terutamanya laksa telur sarang sebab itulah terdetik di hati kami  untuk melakukan infaq dan agihkan kepada mereka yang datang selain membacakan Yassin dan tahlil buat arwah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di Taman Kemboja, Bukit Sentosa hari ini.

Ibu angkat kepada Zubaidi Amir Qusyairi, Norlida Abu Hassan tersenyum melihat gambar dan potrait adik Amir rumahnya, Bukit Sentosa Rawang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 13 FEBRUARI 2021.

Ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka menjalankan program infaq tersebut menerusi pandu lalu.

Cerita Norlida, dia dibantu anak-anaknya sejak awal pagi bagi menyediakan juadah tersebut dengan memasak sebanyak 23 kilogram ikan sardin dan 100 pek bungkus laksa.

Tambahnya, arwah Amir yang dijaganya sejak berusia dua bulan itu juga dibesarkan dengan hasil daripada berniaga laksa.

“Sebelum ini, umi berniaga laksa di sebuah pasar raya berhampiran namun sejak PKP tahun lalu, umi mula beralih perniagaan di rumah.

“Hari ini pun yang datang kebanyakannya jiran tetangga dan penduduk taman berhampiran yang memang tahu sebab umi juga ada maklumkan menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.

Pada Rabu lalu, ibu kandung dan bapa tiri kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun itu didakwa selepas ditemui lemas dalam tong air di Krubong, Melaka dan mereka mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

BACA: Suspek dera, bunuh Amir mengaku tidak bersalah

Kedua-dua suspek, ibu kandung, Zuraida Atan dan bapa tiri mangsa, Mohd Fadzli Abdull Razak dihadapkan ke Mahkmah Ayer Keroh atas dua pertuduhan membunuh dan mendera kanak-kanak itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Amir pasti panggil umi saat akhir nyawanya – Norlida

 

1 Komen

  1. Yang aku tahu hadith sahih kata doa anak yang soleh untuk arwah ibu-bapanya. Selain ini mungkin ajaran Wali Songo, Islam Nusantara atau Agama/ Rasul Melayu.

Comments are closed.