Khairul Anuar Mhd Juri.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menilai inisiatif Wilayah Bebas Niaga (WBN) pada suku tahun ini sebelum menetapkan sama ada ia relevan untuk diteruskan atau tidak.

Ia sudah tentu melibatkan sejauh mana prestasi sama ada buruk atau baik yang dibawa oleh penjaja dan peniaga kecil-kecilan terbabit.

Pengarah Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, pihaknya menyedari inisiatif WBN sudah tentu mengakibatkan penjaja semakin bertambah seperti cendawan selepas hujan dan sudah tentu ada baik dan buruknya.

Oleh itu, katanya, bagi memastikan kesemua penjaja di bawah WBN tidak tersasar daripada peraturan yang ditetapkan DBKL akan sentiasa membuat pemantauan mengejut.

Selain pemantauan, penguat kuasa akan turun ke tapak berdasarkan aduan yang diterima.

Setiap aduan menurut Khairul Anuar akan disiasat terlebih dahulu sebelum tindakan diambil kepada peniaga.

Tinjauan Wilayah Bebas Berniaga di luar pekarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Foto AFFAN FAUZI.

“Baru-baru ini ada aduan kita dapat dari orang awam, dalam masa yang sama anggota penguat kuasa yang ada di cawangan dan pusat akan membuat pemantauan, dua minggu sebelum ini kita bagi mereka masa bersedia dan sekarang penguat kuasa menyemak tapak apakah penjual memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” ujarnya.

Bukan hanya DBKL, pemantauan juga dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memastikan tidak berlaku pencemaran di persekitaran perniagaan yang padat.

“Pemantauan penguatkuasaan akan dibuat setiap hari dengan kawasan yang berlainan,” katanya.

BACA: Inisiatif WBN: Talian hayat peniaga musim Covid-19?

Penjaja yang melanggar peraturan sekiranya mengulanginya selepas DBKL mengambil langkah diplomasi, tidak akan terlepas daripada kompaun sebanyak RM2,000 sebelum tindakan menyenaraihitamkan penjaja untuk berniaga sebagai langkah terakhir diambil.

“Kita akan mengambil pendekatan diplomasi kalau ada perlanggaran peraturan kita akan memberi teguran di peringkat awal (buat kali pertama) kalau masih melakukan kesalahan kita keluarkan kompaun kali ketiga barulah kita mengambil tindakan pembatalan.

“Kita beri peringatan dahulu sebab kadang-kadang mungkin ada yang terlupa atau terlepas pandang jadi kita memberi ruang sedemikian sebelum tindakan diambil,” katanya lagi.

Peniaga, Azizah Mutalib melakukan persiapan perniagaan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di Kampung Bharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI.

Justeru adalah mustahak untuk para penjaja menerusi WBN untuk mempunyai intergriti bagi memberi persepsi dan prestasi yang baik di mata masyarakat selepas diberi peluang untuk menjana pendapatan.

“Keutamaannya adalah untuk yang terkesan dengan Covid-19. Saya difahamkan ada juga mengambil kesempatan ada juga pemilik restoran tapi guna nama orang lain untuk mohon lesen sementara ini.

“Itu adalah intergriti peniaga itu sendiri kena faham apa tujuan kita laksanakan ini,” katanya lagi.

Keterbukaan DBKL ujarnya dalam inisiatif berkenaan perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Kita terbuka kepada semua pihak walaubagaimanapun tolong patuh kepada peraturan. Peluang yang ada untuk kita teruskan kehidupan melalui bantuan ini maka kita jagalah peluang itu dengan baik.

“Kita tidak mahu disebabkan peluang ini memberikan kesan yang lain pula kalau dibiar kebersihan tidak dijaga timbul pula masalah lain, ini akan menyebabkan ketidakselesaan kepada orang lain. Kemaslah dengan baik barang jualan.

“Bila berniaga berniagalah dengan baik, pastikan barang yang dijual dalam keadaan baik dengan harga yang berpatutan. Jaga keselesaan masyarakat daripada sebelum,” tambahnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

DBKL terima aduan ada peniaga WBN guna pekerja asing

1 Komen

  1. Setengah peniaga tidak tahu bersyukur bila kerajaan sudah beri kelongaran, peraturan tidak mahu diikuti.

Comments are closed.