Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR –  Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meminta kerajaan mencari kaedah terbaik agar keadaan golongan B40 yang hilang sumber pendapatan, terutama pekerja kilang yang diberhentikan kerja dan peniaga yang terjejas, ekoran pandemik Covid-19 tidak bertambah buruk.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, laporan media di Pulau Pinang menyatakan kini ramai yang bertindak nekad menjual semula motosikal di kedai termasuk yang baharu dibeli dua bulan bagi meneruskan kelangsungan hidup, menandakan keadaan semakin kritikal.

Katanya, ia bertambah kritikal bila bilangan seorang yang terputus pendapatan dikaitkan dengan bilangan ahli keluarga yang terpaksa ditanggung.

“Kini gambaran yang kronik dilaporkan ada yang terpaksa ‘memajak’ geran motosikal dalam tempoh enam hingga setahun dengan kadar faedah kurang 10 peratus.

“Adalah sangat memedihkan bila mereka begitu terdesak mahu menggunakan wang bagi membeli barangan keperluan rumah, membayar hutang dan untuk menampung kehidupan selepas diberhentikan kerja akibat pandemik,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Azmin, mereka yang terjejas teruk majoritinya ialah dalam kalangan yang sudah berumah tangga termasuk warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

Beikutan itu, katanya, Mapim mengesa kerajaan menilai semula keberkesanan langkah dan sistem penyampaian yang telah diumumkan sejak pakej 1 dan 2 serta Belanjawan 2021.

Tambah beliau, kesinambungan dan kualiti hidup semakin memburuk apabila antara langkah jangka pendek dan pelan perancangan jangka panjang tidak jelas sehingga golongan B40 tidak mampu bertahan.

“Gambaran pertumbuhan ekonomi dan pelaburan yang diumumkan oleh kerajaan dikatakan stabil dan positif tidak boleh menafikan bahawa rakyat golongan B40 sangat menderita,” .

Oleh yang demikian, katanya, Mapim turut mengesa kerajaan segera mengadakan persidangan Parlimen untuk mendapatkan pandangan dari semua wakil rakyat mencari jalan yang berkesan membela nasib rakyat yang tertekan dengan PKP yang kini sedang dilaksanakan. – MalaysiaGazette