BANGKOK – Protes antikerajaan di Bangkok bertukar ganas pada Sabtu malam dengan beberapa kecederaan dan tangkapan dilaporkan.

Penunjuk perasaan antikerajaan Thailand kembali melakukan protes jalanan di Bangkok pada Sabtu, di mana mereka berkumpul di Monumen Demokrasi susulan penahanan empat pemimpin tunjuk perasaan baru-baru ini yang didakwa di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan negara itu, yang juga dikenali sebagai lèse-majesté kerana menghina monarki dalam demonstrasi tahun lalu.

Ketika malam menjelang, penunjuk perasaan berarak ke Sanam Luang, berhampiran Istana Diraja. Walau bagaimanapun, mereka disekat oleh wayar berduri dan halangan. Terdapat pertempuran kecil dengan polis.

Media tempatan melaporkan beberapa letupan kecil dipercayai alat letupan buatan sendiri dan mercun didengar semasa kebuntuan. Cat merah dan botol dilempar ke arah polis.

Timbalan Jurucakap Polis Thailand Kolonel Polis Krissana Pattanacharoen berkata, lebih 20 anggota polis dilaporkan cedera dalam pertempuran itu.

“Sekurang-kurangnya tujuh individu ditahan untuk soal siasat,” katanya kepada media di sini malam tadi.

Terdahulu, penunjuk perasaan berkumpul di Monumen Demokrasi yang mendesak kerajaan membatalkan Seksyen 112. Mereka menutup monumen itu dengan kain merah besar yang mewakili darah pejuang demokrasi.

Sejak pertengahan Julai, penunjuk perasaan antikerajaan telah berhimpun di Bangkok dan bandar-bandar lain, mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik termasuk agar perdana menteri meletakkan jawatan, pembubaran Parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi monarki.

Bagaimanapun, perhimpunan itu perlahan beberapa bulan kebelakangan ini berikutan gelombang baharu pandemik COVID-19 di Thailand.

Seorang daripada pemimpin penunjuk perasaan itu berkata satu lagi protes akan diadakan di Monumen Demokrasi jika rakan-rakan mereka tidak dibebaskan dalam masa tujuh hari. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast