Pegawai Alam Sekitar menguji tahap keasidan air ketika tinjauan sebuah premis yang menjalankan aktiviti peleburan besi yang menyebabkan pencemaran longkang monsun di Jalan Sungai Lalang Taman Semenyih Permata, Semenyih. Foto HAFIZ SOHAIMI, 14 FEBRUARI 2021.

SEMENYIH – Susulan pencemaran longkang parit monsoon di Taman Semenyih Permata di sini, Khamis lalu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memberi jaminan tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air kepada pengguna dilaporkan.

Exco Selangor, Hee Loy Sian berkata, perkara tersebut dapat dielakkan berikutan tindakan pantas pihak berkuasa itu dengan membuat kawalan segera di tapak kilang pemprosesan dan peleburan besi secara haram yang dikesan sejak tiga hari lalu.

“Langkah-langkah mitigasi dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Skuad Pantas LUAS sentiasa menjalankan pemantauan 24 jam di lembagan sungai utama Selangor bagi memastikan perlindungan sumber air demi kelangsungan bekalan air kepada pengguna.

“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan sumber air Selangor dan menyeru semua agar prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air terutamanya sungai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau turun padang ke premis pemprosesan dan peleburan besi secara haram di Lot 1317, Mukim Hulu Semenyih, Daerah Hulu Langat di atas tanah berkeluasan 3 meter persegi.

Premis berkenaan telah mengeluarkan efluen menyebabkan pencemaran longkang parit monsoon di Taman Semenyih Permata, kira-kira jam 3.30 petang, Khamis lalu.

LUAS telah menyita premis berkenaan dan jentera berat yang menjalankan kerja-kerja peleburan besi secara haram yang boleh menyebabkan pencemaran Sungai Semenyih.

Siasatan di tapak juga mendapati kesan daripada aktiviti peleburan atau pembakaran besi telah menghasilkan debu atau serbuk karbon berwarna kehitaman dan dibuang di dalam dua kolam berhampiran.

Keadaan sekitar premis yang menjalankan aktiviti peleburan besi yang menyebabkan pencemaran longkang monsun di Jalan Sungai Lalang Taman Semenyih Permata, Semenyih. Foto HAFIZ SOHAIMI, 14 FEBRUARI 2021.

Siasatan LUAS juga mendapati debu atau serbuk karbon tersebut telah bercampur dengan air dan menjadikan kolam berhampiran berwarna kehitaman.

Pencemaran itu berlaku apabila hujan lebat menyebabkan limpahan aliran hitam dan telah mencemarkan longkang monsun berhampiran dan berpotensi mencemarkan Sungai Semenyih. – MalaysiaGazette