GIGI merupakan salah satu aset penting dalam kehidupan manusia. Gigi merupakan anggota badan yang pertama yang memproses makanan dengan mengunyah dan melumatkan makanan sebelum diproses melalui proses pencernaan. Secara umum, kita mempunyai 2 set gigi dalam kehidupan kita iaitu gigi deciduous dan dikenali sebagai gigi susu dan gigi kekal yang dikenali sebagai gigi kekal.
Gigi susu mempunyai 20 gigi dan tumbuh pada umur seawal 6 bulan sehingga 3 tahun.
Manakala, selepas itu, akan berlaku peralihan masa diantara pertumbuhan gigi susu dan gigi kekal iaitu dalam lindungan umur 6 tahun sehingga 12 tahun. Pada waktu ini, gigi susu akan beransur gugur secara semula jadi mengikut masa tertentu bagi setiap gigi dan digantikan dengan gigi kekal. Set gigi kekal akan tumbuh dengan sempurna pada umur 12 tahun dan ke atas.
Selepas gigi kekal tumbuh, tiada lagi gigi yang lain akan tumbuh jika gigi tersebut rosak atau dicabut. Gigi kita juga mempunyai 3 lapisan yang utama iaitu lapisan enamel, dentin dan pulpa dan dipegang secara utuh oleh ligamen periodontal pada tulang gusi.
Enamel adalah lapisan putih paling luar yang kuat dan berfungsi untuk melindungi gigi,
manakala, dentin adalah tisu lembut pada lapisan kedua yang terdiri daripada tubul-tubul yang sensitif. Lapisan terakhir adalah pulpa gigi yang merupakan rangkaian tisu lembut yang terdiri daripada saluran darah dan saraf, yang dan berfungsi untuk memberikan nutrisi pada gigi, membantu membaik pulih dentin, dan membantu melawan bakteria yang menjangkiti gigi.
Jika karies atau kaviti gigi berlaku pada lapisan enamel dan dentin, pesakit kebiasaannya akan mengadu rasa sensitif ketika makan atau minum dan keadaan ini boleh dirawat dengan kaedah tampalan gigi. Walau bagaimanapun, apabila kawasan pulpa telah dijangkiti, keradangan pulpa akan berlaku dan pesakit akan mengalami simptom seperti sakit berdenyut yang berpanjangan, sakit gigi secara tiba-tiba, sakit gigi yang mengganggu tidur malam, dan bengkak pada bahagian gusi.
Jangkitan pulpa seterusnya boleh merebak dan menjangkiti saluran kanal akar dan mengakibatkan nekrosis pulpa atau lebih dikenali sebagai kematian saraf berlaku. Keadaan yang tidak dirawat ini, akan seterusnya menyebabkan keradangan pada kawasan periapikal.
Gigi yang mengalami kematian saraf akan kehilangan deria terhadap rangsangan di mana, pesakit yang pada mulanya mengalami simptom sakit berdenyut yang berpanjangan akan kelama-lamaan berubah kepada asimptomatik.
Pesakit mempunyai dua pilihan untuk merawat gigi yang mengalami nekrosis pulpa iaitu
sama ada menjalankan rawatan kanal akar atau cabutan gigi. Rawatan kanal akar adalah pilihan terbaik sekiranya gigi tersebut masih mempunyai struktur korona gigi yang mencukupi dan kesihatan gusi yang sihat.
Manakala, cabutan gigi akan dijalankan jika keadaan gigi adalah sebaliknya. Apabila gigi sudah dicabut, ia boleh digantikan dengan implant gigi atau jambatan gigi bergantung kepada kondisi mulut setiap individu. Pesakit yang mengalami simptom keradangan pulpa akan menjalani proses pemeriksaan dan penyiasatan terlebih dahulu yang merangkumi pemeriksaan klinikal, ujian kepekaan gigi, ujian perkusi, dan ujian mobiliti. Radiograf periapikal gigi juga perlu diambil dalam membantu doktor gigi dalam menilai keadaan akar gigi dengan lebih jelas dan tepat terutamanya dalam mengesan keradangan pada kawasan periapikal dan menentukan morfologi kanal akar gigi yang bervariasi mengikut indvidu.
Rawatan kanal akar adalah salah satu rawatan yang dijalankan secara berperingkat di mana, ia memerlukan dua hingga empat kali lawatan bergantung ke atas jenis gigi yang dirawat. Gigi hadapan seperti gigi kacip dan taring kebiasaannya memerlukan satu hingga dua kali lawatan manakala, gigi belakang seperti geraham kecil dan geraham besar memerlukan dua hingga empat kali lawatan berikutan sistem anatominya yang lebih sukar. Peringkat pertama melibatkan proses kaviti akses dan pembersihan sisa nekrosis pulpa yang dijalankan dengan menggunakan alatan kikir, cecair dan ubatan
antiseptik kanal akar yang bertujuan untuk membasmi kuman di dalam kanal akar gigi.
Gigi tersebut kemudian akan ditampal dengan bahan tampalan sementara dan temujanji berikutnya akan diberikan dalam masa seminggu atau dua minggu. Seterusnya pada peringkat kedua, panjang gigi akan diukur dan proses pembersihan dan pembentukkan kanal akar akan dijalankan dengan menggunakan alatan kikir yang bersesuaian. Pada peringkat ini, penggunaan cecair antiseptik akan digunakan dengan lebih banyak dan menyeluruh dalam memastikan pembasmian kuman yang lebih efektif. Pada peringkat
ketiga, teknik obturasi iaitu satu proses menampal saluran kanal akar yang telah kosong dan dibersihkan sebelum ini dengan menggunakan bahan tampalan yang dikenali sebagai ‘gutta-percha’ dan bahan pengedap.
Peringkat ketiga hanya akan dilakukan sekiranya pesakit sudah tidak mengalami sebarang simptom ketika pemeriksaaan klinikal dijalankan. Manakala, peringkat terakhir adalah proses pembikinan korona gigi yang baru bagi menggantikan struktur gigi yang telah hilang. Ini adalah sangat penting bagi memastikan gigi tersebut mampu berfungsi dengan baik dan mengurangkan risiko berlakunya gigi retak pada masa hadapan. Kebaikan mendapatkan rawatan kanal akar ini adalah gigi tersebut masih kekal di dalam mulut dan dapat berfungsi untuk mengunyah dan mengekalkan estetik setiap pesakit dengan kadar kelangsungan sebanyak 95% sepanjang tempoh 4 tahun.
Sesungguhnya di dalam Islam, menjaga kebersihan gigi adalah seperti kita menjaga
kebersihatan dan kesihatan anggota badan yang lain. Gigi juga merupakan amanah yang Allah SWT berikan kepada kita untuk kita jaga sebaiknya. Kita ketahui, gigi juga secara langsung dan tidak langsung terlibat dalam ibadat seharian kita seperti solat serta membaca al Quran. Gigi merupakan salah satu tempat makhraj huruf itu keluar. Gigi yang sihat membantu dalam kita mencari keredhaan Allah SWT. Gigi juga merupakan aset yang penting bagi penampilan manusia.
Nabi Muhammad SAW amat menitikberatkan amalan kebersihan gigi seperti Sabda Nabi Muhammad SAW Bermaksud: Kalau aku tidak khuatir menyusahkan umatku, nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali bersolat. (Imam Muslim).
Jagalah gigi, jagalah hati, jagalah hidup ini!.
Dr Siti Hajar Omar
Pakar Endodontik
Fakulti Pergigian
Universiti Sains Islam Malaysia
&
Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia