KUALA LUMPUR – Seorang individu membuat laporan polis ke atas seorang Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ahli Parlimen Batu kerana didakwa menghina masyarakat India Muslim menerusi ruang komen media sosial Facebooknya Isnin minggu lalu.
Mohd Zulkifli Abdul Fatah yang merupakan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) membuat laporan itu di Balai Polis Daerah (IPD) Sentul pada jam 12.52 tengah hari ke atas Arvind Raj.
Menurut beliau, lelaki itu telah menghina dan menguris hati masyarakat India Muslim dengan perkataan kesat dan lucah di akaun Facebooknya.
“Penghinaan dari Arvind Raj dikhuatiri boleh mendatangkan pergaduhan dan perpecahan antara kaum serta agama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau meminta polis menyiasat lelaki itu di bawah Seksyen 574 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Katanya, beliau difahamkan NGO mewakili masyarakat India Muslim di setiap negeri akan membuat laporan sama di balai di seluruh negara.
Dalam carian Malaysia Gazette menerusi akaun Facebook Arvind Raj, mendapati beliau telah membuat permohonan maaf kepada masyarakat India Muslim secara rakaman video.
“Salam sejahtera kepada semua. Tujuan saya membuat video ini adalah disebabkan terkasar bahasa di dalam komen Facebook dengan seorang individu yang mungkin menyinggung perasaan masyarakat India Muslim.
“Oleh itu, saya telah memohon maaf secara rela hati dan terbuka kepada masyarakat India Muslim.
“Saya tidak mempunyai motif untuk menghina sesiapa, tetapi telah diprovokasi oleh seseorang untuk tujuan politik. Harap kita kekalkan silaturahim antara kaum dan agama,” ucap beliau menerusi videonya yang berdurasi 2:07 minit. – MalaysiaGazette