Program ini akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin melalui melalui saluran TV1, RTM dan Facebook rasmi MyMOTAC pada Sabtu, 20 Februari 2021, jam 9.00 malam,

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia tidak menjadi penghalang untuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) meneruskan program Sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2021.

Ia merupakan acara tahunan di peringkat nasional yang mana ia sentiasa dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia tetapi perlu diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Menterinya, Datuk Nancy Shukri berkata, mereka akan tetap meneruskan tradisi sambutan perayaan itu dengan cara norma baharu.

“Walaupun dari segi skala penganjurannya adalah terhad namun Sambutan Tahun Baru Cina tetap disambut meriah.

“Inisiatif ini membolehkan rakyat pelbagai kaum turut serta menyambut dan berkongsi kegembiraan bersama-sama rakan-rakan masyarakat Cina di negara ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Nancy, uniknya pada tahun ini dan buat julung kalinya, SRTM Tahun Baru Cina akan diadakan menerusi platform media sosial Facebook di MyMOTAC.

“Masyarakat akan disaji dengan pelbagai persembahan yang menarik antaranya Kompilasi Video Pelaksanaan Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina dari tahun 2016 hingga 2020, persembahan tarian ‘Selamat Datang’, Tarian Kipas dari Artistari Istana Budaya serta persembahan nyanyian dari Masya Masyitah dan Nicole Lai.

“Selain itu, segmen ucapan tokoh masyarakat Cina yang membicarakan mengenai perbezaan sambutan Tahun Baru Cina dari dahulu hingga sekarang juga turut diadakan.

“Semua ini akan kami bawakan melalui saluran TV1, RTM dan Facebook rasmi MyMOTAC pada Sabtu, 20 Februari 2021, jam 9.00 malam,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program berkenaan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

“Saya berharap dengan program ini dapat meningkatkan lagi semangat bersatu hati dan toleransi serta menyemai nilai-nilai murni dan budaya yang tinggi di kalangan masyarakat yang pelbagai kaum untuk lebih bersifat terbuka dan saling hormat menghormati,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast