Kumpulan Analisis Kewangan Bertauliah yang dikeluarkan oleh Yayasan Peneraju Bumiputera.

KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) telah melahirkan lebih 36,000 modal insan Bumiputera dalam pelbagai bidang melalui 276 program pembiayaannya, terutamanya dalam jurusan profesional dan
kemahiran.

Kejayaan tersebut dicapai melalui peruntukan kerajaan sebanyak RM822 juta yang digunakan untuk membiayai pembelajaran serta latihan kemahiran para penerima faedah tersebut sejak agensi itu mula beroperasi pada tahun 2012.

Angka ini akan terus dipertingkatkan untuk memastikan modal insan Bumiputera terus diberi peluang untuk meningkatkan taraf pendidikan, kemahiran serta pentauliahan demi memastikan Malaysia diperkayakan dengan modal insan yang akan terus memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi.

Datuk Seri Mohd Redzuan bin Md Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang bertanggungjawab dalam menyelia agensi tersebut berkata, Yayasan Peneraju adalah pemudah cara kepada dasar kerajaan dalam meningkatkan kualiti, kuantiti serta keberkesanan bakat-bakat Bumiputera.

Ini sejajar dengan usaha-usaha menaiktaraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan vokasional, profesional dan pengkhususan.

Program-program yang ditawarkan oleh Yayasan Peneraju juga adalah seiring dengan matlamat agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang bertujuan merapatkan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas ekonomi, kumpulan etnik dan wilayah geografi.

”Dalam mencapai agenda WKB2030, kita perlu fokus untuk mewujudkan modal insan yang berketerampilan, berpengetahuan dan inovatif untuk memenuhi kehendak industri. Inisiatif ini seterusnya akan memberi mereka peluang kepada pekerjaan yang berkualiti dan ke arah membangunkan sebuah negara yang lebih inklusif dan sejahtera,” katanya.

Antara pencapaian signifikan Yayasan Peneraju serata Malaysia dari tahun 2012 -2021:

  •  3,056 lepasan UPSR/SPM B40 dibiayai di peringkat sekolah menengah dan universiti
  • 2,207 pelajar tingkatan 1 SBP dari golongan B40 diberi bantuan yuran persekolahan
  • 997 pelajar di 6 rumah perlindungan diberi bantuan tuisyen tambahan dan program
    pemupukan dan pembangunan
  • 11,845 belia keciciran dilatih untuk pensijilan TVET kemahiran tinggi dalam sektor
    berpendapatan tinggi
  • 3,332 graduan baru dan menganggur diberi latihan TVET reskilling dan upskilling dalam bidang berkepakaran tinggi
  • 3,030 tenaga kerja sedia ada diberi latihan TVET reskilling dan upskilling dalam sektor berpendapatan tinggi
  • 5,311 pelajar lepasan SPM sehingga Ijazah Sarjana Muda dibiayai utk program pensijilan perakaunan profesional
  • 1,241 pelajar lepasan SPM sehingga individu bekerja dilatih untuk pengiktirafan sijil
    profesional dalam bidang ICT dan MRO Aeroangkasa
  • 661 individu bekerja dan tidak bekerja dibiayai untuk program pensijilan kewangan
    profesional

Untuk tahun 2021 ini, Yayasan Peneraju dijangka memberi peluang kepada lebih 9,000 penerima faedah dan tumpuan akan diberikan kepada bidang profesional, teknologi dan kemahiran tinggi bagi menyokong keperluan negara untuk merealisasi WKB2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast