PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Eco Majestic, Semenyih dekat Kajang, semalam.

Mangsa berusia empat tahun dibawa ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan pemeriksaan lanjut mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan di kemaluan selain terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, seorang petugas di Jabatan Kecemasan Hospital Kajang telah membuat laporan kira-kira jam 1.20 tengah hari semalam berhubung kematian kanak-kanak itu.

“Pengadu memaklumkan mangsa telah dihantar oleh ibunya ke Hospital Kajang dalam keadaan tidak sedar diri.

“Pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan di kemaluan dan terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan.

“Siasatan awal polis, kejadian dera ke atas si mati disyaki berlaku di Pangsapuri Simfoni, Eco Majestic, Semenyih di mana si mati dipercayai telah dipukul oleh teman lelaki ibu mangsa sehingga tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, kata Mohd Zaid, polis menangkap ibu mangsa yang berumur 31 tahun dan seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai teman lelakinya.

Kata beliau, ibu mangsa tidak bekerja manakala lelaki terbabit bekerja sebagai penarik kereta.

Permohonan reman ke atas kedua-dua tangkapan telah dilakukan dan dibenarkan oleh Mahkamah Kajang selama enam hari untuk membantu siasatan sehingga Rabu ini.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh berhubung dengan mana-mana balai yang terdekat atau Pegawai Penyiasat kes, ASP Mohd Faizal Amir di talian 011-3331 9871. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast