JAKARTA – Banjir teruk di beberapa kawasan di ibu negara Indonesia, memaksa lebih 1,000 orang meninggalkan rumah masing-masing.
Agensi meteorologi negara ini memberi amaran bahawa keadaan ini akan berlanjutan sehingga minggu depan.
Sebanyak 1,380 penduduk Jakarta dari daerah selatan dan timur bandar yang memiliki 10 juta orang dipindahkan selepasbanjir mencapai ketinggian 1.8 meter di beberapa daerah, kata Sabdo Kurnianto, Pemangku Ketua Agensi Bencana di Jakarta dalam satu kenyataan.
Setakat ini tiada korban jiwa dilaporkan berlaku.
Orang ramai memuat naik gambar di media sosial yang menyaksikan penduduk yang melintasi jalan berlumpur yang tinggi, kereta hampir keseluruhannya tenggelam dan pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan warga tua dengan perahu.
“Dua ratus kawasan sekitar terjejas, menurut data terbaru,” kata Gabenor Jakarta, Anies Baswedan kepada televisyen tempatan pada awal hari Sabtu, sambil menambah lebih dari dua pusat pemindahan telah disiapkan di seluruh ibu kota itu.
“Hujan telah berhenti, tetapi air dari daerah lain masih menjejaskan Jakarta. Mudah-mudahan banjir tidak melanda pusat bandar dan ketika air surut orang dapat meneruskan aktiviti mereka.”
Bencana banjir terjadi ketika Indonesia sedang menghadapi jumlah kes positif dan kenaikan kes kematian akibat Covid- 19 di Asia Tenggara dan kemelesetan ekonomi.
Agensi meteorologi memberi amaran hujan paling lebat akan berlaku dan bandar paling padat ini akan berdepan dengan cuaca melampau termasuk hujan lebat, guruh dan angin kencang, sepanjang minggu depan.
”Jakarta dan sekitarnya masih dalam musim kemuncak musim hujan, yang dijangka berlanjutan hingga akhir Februari atau awal Mac,” katanya. – MalaysiaGazette