Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru orang ramai menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu seorang lelaki India yang dikatakan telah memurtadkan seorang wanita Islam.

Ini berikutan, laporan telah dibuat oleh beberapa individu sejak video yang dimuatnaik lelaki terbabit tular di medium media sosial sejak semalam dan kini dalam perhatian serta tindakan polis untuk siasatan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, tindakan undang-undang juga boleh diambil ke atas lelaki terbabit di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang sedang berkuat kuasa di beberapa buah negeri.

“Ini termasuk orang bukan Islam yang menghasut, memujuk, mempengaruhi atau memaksa orang Islam supaya meninggalkan agama Islam atau tidak suka kepada agama Islam.

“Selain itu, mana-mana orang Islam yang cuba untuk keluar dari agama Islam juga boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang sedang berkuat kuasa di beberapa negeri,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, tular satu video berdurasi tiga minit 26 saat memaparkan seorang lelaki berbangsa India mengaku memurtadkan wanita Islam menggunakan laman sosial Facebook.

Suspek berusia 29 tahun itu sudah dikenal pasti dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 serta Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan.

Menurut Abdul Aziz, JAKIM menyeru seluruh umat Islam dapat mempertingkatkan kefahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pegangan akidah, syariah dan akhlak seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Katanya, semua pihak diingatkan tidak saling menyalahi antara satu sama lain dalam isu melibatkan umat Islam, sebaliknya perlu sama-sama memperkukuhkan institusi keluarga Islam, memupuk sikap saling ambil peduli dalam masyarakat dan ingat mengingati dalam menghadai sesuatu permasalahan.

Kata beliau, JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri seperti Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain sentiasa menjalankan usaha bagi memastikan akidah, syariah dan akhlak umat Islam sentiasa terpelihara selaras dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama yang diberi penekanan oleh kerajaan pada masa kini.

“Kita ucapkan syabas dan tahniah atas keprihatinan semua pihak dalam sebarang isu membabitkan umat Islam dan dalam masa yang sama menyokong usaha dan tindakan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dengan seadil-adilnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Aiy yoyo tambi yenna dey. Kelingpreet dapat jodoh dengan Minahpreet demi perpaduan masyarakat majmuk unik kononnya.

Comments are closed.