KUALA LUMPUR – UMNO hari ini menafikan dakwaan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius berita yang tular berkaitan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Janda Baik, Bentong pada Jumaat lalu.
Menurutnya, sebarang sumber atau spekulasi adalah tidak benar melainkan datang daripada kenyataan rasmi parti.
“Sebarang laporan, spekulasi dan kenyataan media lain tidak boleh dirujuk sebagai pendirian atau kenyataan rasmi parti,” kata kenyataan yang sama.
Sebelum itu, laporan sebuah portal memetik sumber mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menggunakan kuasa veto menolak kerjasama dengan PN pada PRU-15.
Selain itu, beliau juga didakwa menggunakan kuasa yang sama menolak tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri.- MalaysiaGazette
Nk nafi apa lgi.. Syng jwtn ke