KUALA LUMPUR – Ketibaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech kumpulan pertama semalam, pasti meredakan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap virus yang boleh membawa maut itu.
Malah, ia sememangnya sesuatu yang ditunggu-tunggu kerana semua orang ingin menikmati semula kehidupan seperti sediakakala, kata Ketua Badan Pimpinan Negeri, Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.
Beliau berkata, apa yang diuar-uarkan oleh kerajaan telah menjadi kenyataan dan vaksin itu tiba tepat pada masanya ketika keseluruhan rakyat kini memerlukan.
“Vaksin ini menjadi satu benda yang sangat penting ketika ini dan ia mampu memberi sinar dan kelegaan kepada seluruh rakyat di negara ini.
“Usaha kerajaan dalam memastikan kelicinan proses ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin itu boleh meninggalkan impak besar kepada keseluruhan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Suhaimi berkata, apa yang penting sekarang adalah langkah seterusnya iaitu pemberian vaksin kepada kumpulan petugas barisan hadapan dan kemudian terhadap keseluruhan rakyat mengikut peringkat.
Tambahnya, rakyat wajib menyokong usaha yang dilakukan oleh kerajaan agar mimpi ngeri yang menghantui mereka sejak setahun lalu dapat dilenyapkan, sekaligus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas daripada Covid-19.
Bagaimanapun, menurut Suhaimi, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) masih perlu diteruskan walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin berkenaan.
Mereka juga perlu ingat bahawa suntikan vaksin yang diterima itu bukanlah jaminan untuk mereka kebal daripada terkena jangkitan wabak tersebut.
“Pematuhan terhadap SOP jangan diabaikan, sebaliknya mereka perlu jadikan perkara itu sebagai satu amalan dalam kehidupan norma baharu hari ini.
“Orang ramai perlu ingat bahawa kita masih lagi berperang dengan wabak yang sudah meragut puluhan ribu nyawa di seluruh dunia,” ujarnya.
Semalam, pesawat Kargo MAS, Airbus 330-300 membawa bekalan vaksin kumpulan pertama itu dari Puurs Belgium ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Setakat ini jumlah petugas barisan hadapan yang berdaftar pengambilan vaksin adalah seramai 271,802 orang mewakili sektor kesihatan dan sektor lain iaitu 57. 3 peratus daripada jumlah penerima adalah anggota perubatan dan kesihatan sementara 42.7 peratus adalah anggota bukan kesihatan seperti tentera, polis, Rela, kastam dan bomba. – MalaysiaGazette