KUALA LUMPUR – Tiga warga asing Indonesia akan dihadapkan di Mahkamah Sepang esok bagi dakwaan mengilang gas cecair tanpa lesen.
Seksyen Serbuan dan Siasatan, Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya mendapat izin Timbalan Pendakwaraya untuk menuduh ketiga-tiga suspek pukul 9 pagi.
“Mereka yang merupakan pekerja terlibat bakal berdepan pertuduhan mengikut Peraturan 3 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana didapati mengilang barang berjadual iaitu gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen.
“Tindakan mereka merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1), Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1), Akta Kawalan Bekalan 1961,” kata KPDNHEP dalam kenyataan hari ini.
KPDNHEP juga telah menyita sejumlah 320 tong LPG pelbagai saiz dan jenama semasa pemeriksaan di sebuah gudang di Lot 16407/16408, Jalan Perusahaan Meranti 5, Kampung Sungai Rasau, Puchong dalam serbuan pada 16 Februari lalu.
Kesemua maklumat berkaitan kes berkenaan akan dimaklumkan esok selepas pertuduhan dibacakan.- MalaysiaGazette