KUALA LUMPUR – Amaran tegas kepada pemilik motosikal yang mengubahsuai kenderaan menggunakan ekzos bising!
Ini kerana mereka bakal berdepan tindakan denda dan hukuman penjara dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Azisman Alias berkata, penunggang motosikal yang didapati berbuat demikian boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Hukuman itu dikuatkuasakan di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan Dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) yang memperuntukkan setiap ekzos (penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah diselenggarakan supaya berada dalam keadaan yang baik.
“Ia juga perlu dipastikan tidak diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azisman, mana-mana individu yang dikesan membuat pengubahsuaian kepada motosikal dengan memasang ekzos bising, ia satu kesalahan dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih enam bulan.
Dalam perkembangan sama, di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis telah diberikan kuasa untuk menyita kenderaan tersebut, katanya.
Tambah beliau, polis boleh menahan motosikal tersebut sehingga pemilik motosikal mengambil langkah-langkah bagi menjamin tidak mengulangi kesalahan tersebut.
Menurut Azisman, beliau percaya penggunaan ekzos bising kini menjadi trend semasa golongan muda kerana dikatakan meningkatkan kelajuan motosikal selain menjadi aksesori yang ‘mencantikkan’ penampilan fizikal motosikal tersebut.
“Pihak JSPT sentiasa mengadakan Operasi Bersepadu dengan jabatan dan agensi yang lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Dalam operasi itu, motosikal akan diukur paras bunyi ekzos yang dibenarkan.
“Sekiranya paras bunyi ekzos melebihi tahap piawaian yang ditetapkan, JAS akan mengeluarkan kompaun saman ke atas pemilik motosikal yang didapati bersalah,” katanya.
Beliau pada masa yang sama mengingatkan semua pemilik motosikal termasuk pemilik kenderaan bermotor agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang melibatkan pengubahsuaian kenderaan bermotor.
“Mana-mana pihak yang hendak melakukan pengubahsuaian, perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan,” tegasnya.-MalaysiaGazette
Kudos PDRM, ianya memang “noise pollution”
Senang saja nak tangkap mereka yg modified eksos. Mereka satu geng. Pergi kedai motor sudah boleh tahu merake
Abis kedai yg jual benda alah tu cmna pulak..kenapa x dicegah dari awal…kan mencegah dari awal lebih baik dari menyaman..xda penjual xda lah pembeli