KUALA LUMPUR – Lebih 100 penghuni Taman Bunga Raya, di sini terpaksa mendiami rumah yang mengalami masalah keretakan teruk dan mendapan tanah akibat pergerakan tanah sejak empat tahun lalu.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Taman Bunga Raya, Amirhakeem Ahmad Dahalan mendakwa, masalah keretakan bukan sahaja melibatkan rumah bahkan dinding penahan tanah juga berlaku kesan pembinaan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE-DUKE 3) sejak 2017.
“Dinding penahan yang dibina di Taman Bunga Raya ini sejak 1978 dan tahun ini sudah 43 tahun dinding penahan ini wujud untuk menampung pergerakan tanah di sepanjang Lorong Malinja 5, Taman Bunga Raya.
“Setelah 43 tahun dinding penahan ini sudah mula menampakkan keretakan dan perkara ini sudah diajukan kepada Jabatan Kerja Awam dan Saliran DBKL, nampaknya belum ada tindakan lagi.
“Kita bimbang pergerakan tanah sudah mula ada di peringkat atas ketika pembinaan Lebuhraya SPE-DUKE 3 berjalan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Menurut Amirhakeem, memandangkan jarak di antara Lebuhraya SPE-DUKE 3 dengan dinding penahan tanah di Taman Bunga Raya agar dekat, keretakan rumah berlaku dipercayai ketika kerja-kerja pembinaan dilakukan.
“Jarak antara dinding penahan Taman Bunga Raya dengan Lebuhraya SPE-DUKE 3 hanya 15 hingga 20 meter sahaja.
“Mungkin ketika kerja-kerja pembinaan lebuh raya berjalan, berlaku keretakan di beberapa dinding penahan dan pergerakan tanah di sepanjang Lorong Malinja 5 dan Lorong Mahsuri 4,” jelasnya.
Sehubungan itu, Amirhakeem menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera bagi menghentikan pergerakan tanah sebelum berlaku runtuhan tanah.
“Kita bimbang rumah di sepanjang Lorong Malinja 5 dan Lorong Mahrusi 4 akan berlaku keruntuhan lebih teruk dan ia boleh membahayakan penghuni-penghuni rumah di sini.
“Sudah ada beberapa kes di mana terdapat beberapa rumah mengalami pergerakan tanah agak ketara dan keretakan yang berlaku di beberapa rumah.
“Kita berharap tindakan diambil sekurang-kurangnya pasang cerucuk atau bina dinding penahan baharu supaya dapat menampung pergerakan tanah,” katanya. – MalaysiaGazette