Selamat ulang tahun IPSI ke-34, 21 Februari 1987

KUALA LUMPUR – Tanggal 21 Februari 1987 merupakan tarikh keramat Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) apabila diwartakan daripada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) kepada Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI).

Bermula era baharu, institut yang melahirkan ramai tokoh sejarah dan pendidikan tanah air itu menyambut penubuhannya yang ke 34 tahun semalam dan kini sudah menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sebagai sebuah pusat tanggungjawab yang mengemudi pentadbiran alumni AKSB, Pusat Alumni UPSI berbesar hati dan mengambil inisiatif meraikan tarikh memperingati pewartaan IPSI dengan mengumpulkan ucapan-ucapan ringkas daripada alumni-alumni era gemilang tersebut lalu dan dimuatkan dalam sebuah video pendek.

Menariknya, Pengarang Pewarta Suluh Budiman turut berbesar hati apabila Tokoh Alumni AKSB tersohor yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff sudi menghantar rakaman ucapan kepada meja pengarang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff

Menerusi ucapannya, beliau merakamkan ucapan selamat menyambut ulangtahun penubuhan ke 34 kepada IPSI.

“Kepada semua Anak Kandung Suluh Budiman, nikmatilah, hayatilah serta tunaikanlah wadah perjuangan bangsa, bahasa, dan juga pendidikan yang telah diilhamkan dari penubuhan SITC, MPSI dan IPSI seterusnya era UPSI.

“Saya turut menyeru kepada para alumni untuk kembali ke Ibu Kandung Suluh Budiman dalam menabur bakti apatah lagi pusat pengajian bertuah ini. Insya-Allah, pada 29 November ini, kita akan mengadakan soft-launch sambutan 100 tahun penubuhan universiti.

“Ayuh kita beramai-ramai kembali ke Ibu Kandung Suluh Budiman bagi meraikan saat bersejarah ini dan semoga kelak kita berjumpa lagi di Universiti Pendidikan Sultan Idris yang bertuah ini,” katanya.

Turut mewarnai rakaman ucapan selamat dalam video pendek yang sama ialah bekas-bekas pelajar IPSI yang juga akademia hebat antaranya Pengajian Sekolah Menengah Sejarah / Seni IPSI 1988-1990 dan Prof Madya Dr. Mohd Zahuri Khairani, Kursus Pengurusan Lepasan Ijazah Pendidikan Seni IPSI 1992-1994, Drs Izani Mat Il.

Selain itu, Pengajian Sekolah Rendah, Pengajian Melayu IPSI 1986-1988, Cikgu Mat Nor Ismail. Diploma Bimbingan dan Kaunseling IPSI 1987, Dr. Muzafar Shah Mohd Razali, Pengajian Sekolah Menengah subjek Sejarah dan Pendidikan Seni, IPSI 1988, Puan Jamilah Omar dan Encik Mohd Sayuti Deraman. -MalaysiaGazette